Rabu, 23 Mei 2018

Artis bebas sokong siapa saja, tapi bukan jadi 'lalang'

 
   

Sejak akhir-akhir ini banyak yang diperkatakan mengenai isu integriti termasuk dalam kalangan penggiat industri hiburan.

Ia berlaku selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menubuhkan kerajaan baru bagi menggantikan BN yang berkuasa sejak lebih 60 tahun lalu.

Jika dalam dunia politik kita melihat situasi lompat parti melibatkan sesetengah ahli politik, ada aktivis seni dan hiburan dilihat seakan-akan lalang kerana tiba-tiba membodek kerajaan baru ini.

Bagi Sharifah Amani penggiat seni tidak sepatutnya menampilkan watak penuh kepura-puraan.

Justeru pelakon Terbaik Dari Langit itu berkata penggiat seni perlu menzahirkan jati diri yang sepatutnya iaitu ikhlas, telus, boleh dipercayai dan tidak mudah dipengaruhi.

Pendek kata, katanya, dia menginginkan wujud sikap konsisten semasa mereka menyokong satu-satu usaha.

“Perkara seperti ini (lalang) membuatkan saya terkilan dan sedih kerana orang seni sepatutnya berdiri atas integriti yang teguh.

“Sebagai orang yang terlibat secara langsung dalam seni hiburan, saya ingin melihat bidang ini maju.

"Dalam usaha itu sudah tentu kami mempunyai hak untuk mempersoalkan kerajaan jika perlu.

“Tetapi kewujudan artis yang diibarat lalang memperlihatkan golongan ini tidak mempunyai pendirian kukuh, justeru bagaimana ingin menteladani peminat,” katanya kepada Malaysiakini.

Ada kepentingan perniagaan

Sharifah Amani, 31, bagaimanapun masih boleh berbangga kerana di sebalik kencenderungan tidak sihat itu tetap ada selebriti yang masih berpegang teguh kepada prinsip dan bukan kepentingan peribadi.

“Saya hubungi Dira Abu Zahar dan katakan kepadanya dia mungkin membuat arwah bapanya gembira.

"Darah dia masih biru (tua). Kita perlu pembangkang yang kuat, kalah atau menang adat pertandingan,” katanya merujuk kepada exco Puteri Umno Malaysia itu.

Sejak kemenangan diumum berpihak kepada HARAPAN, ramai selebriti mengucapkan tahniah kepada kerajaan baru dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketujuh Malaysia.





Untuk rekod, sebahagian artis mendakwa kebebasan mereka tersekat semasa BN memerintah, malah sering “diingatkan” bahawa penghibur tidak boleh campur tangan dalam hal-hal politik.

Bagi Datuk Norman Abdul Halim atau Norman KRU, mengubah haluan atas pegangan politik tidak wajar dilihat sebagai suatu isu, sebaliknya menganggap ia perkembangan yang positif.

Kata Norman, sebagai seseorang yang mencari rezeki dalam industri muzik, memang timbul kerisauan tak sudah apabila memikirkan soal periuk nasi sekiranya mereka digam mana-mana stesen TV ataupun radio.

Justeru, katanya, bagi memenuhi tuntutan stesen yang kebanyakannya berada di bawah pengaruh kerajaan, dia tidak mahu mengambil sebarang risiko.

“Ada artis sokong BN, ada juga yang sokong HARAPAN sama ada secara terbuka atau diam-diam. Saya pula lihat isu ini secara menyeluruh.

“Sebagai seorang yang berniaga, saya tidak boleh memberi komen menentang kerajaan. Ini akan memberi implikasi kepada kakitangan, artis dan anak murid di Akademi KRU,” katanya.




Datuk Farid Kamil pula berpendapat, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, golongan selebriti yang juga sebahagian daripada rakyat negara ini berhak memilih parti politik atau pemimpin yang dirasakan terbaik.

Dalam pada itu katanya tidak kurang penting untuk seseorang selebriti memiliki pengetahuan politik dan mengikuti perkembangan semasa.

“Kita mahu masyarakat menilai golongan artis juga celik politik, ini yang membuatkan Malaysia matang dari segi pemimpin dan rakyat,” katanya.


Tiada ulasan: