Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengesahkan bahawa pejabat parlimen dan rumahnya di Baling, Kedah diserbu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Ketika dihubungi, Abdul Azeez bagaimanapun berkata dia perlu menyemak semula jumlah wang tunai dan barangan kemas yang dilaporkan dirampas kerana dia tidak berada di rumah ketika kejadian.
"Mungkin ada wang tunai (yang dirampas). Saya perlu semak semula kerana saya tak ada di rumah di Baling.
"Saya akan semak dan maklumkan semula," kata pengerusi Lembaga Tabung Haji itu kepada Malaysiakini.
Abdul Azeez berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan Malay Mail yang memetik sumber SPRM sebagai berkata bahawa pegawai siasatan merampas lebih setengah juta wang tunai, beberapa dokumen dan barang kemas ketika serbuan berkenaan.
Diminta mengulas lanjut, Azeez hanya berkata "saya tidak tahu."
Dia bagaimanapun berikrar akan memberikan kerjasama penuh berhubung siasatan SPRM itu.
"Sudah tentu (saya akan beri kerjasama). Tapi mereka tidak maklumkan sama ada mereka akan panggil saya," katanya.
Berita Harian awal hari ini memetik Pengarah SPRM Perlis Mohd Shukor Mahmud yang juga mengesahkan serbuan di rumah dan pejabat Azeez.
"Serbuan itu dilakukan oleh SPRM Putrajaya. SPRM Perlis sekadar membantu. Saya tidak pasti sama ada Azeez ditahan atau tidak.
"Kes apa yang dia disiasat, itu perlu rujuk kepada Putrajaya. Kes ini dikendalikan oleh Putrajaya," kata Mohd Shukor dipetik sebagai berkata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan