LANGKAWI: Susulan 18 tingkap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang
memaparkan simbol BN serta wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
pecah akibat dibaling batu oleh orang yang tidak dikenali.
Pengerusi KTMB, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, beliau tidak dapat
memastikan sama ada kejadian tersebut ada kaitan dengan simbol dacing
dan juga wajah perdana menteri.
“Saya tak pasti itu (logo dacing dan wajah Najib) antara punca, hidup
kita bukan semua orang suka, bukan semua orang tak suka tapi kes ini
saya nak minta masyarakat lebih berfikiran terbuka, jangan gunakan emosi
untuk hancurkan barang-barang kerajaan kerana tingkap tu mahal.
“Kalau (KTMB) dapat tangkap orang tu saya minta diberi hukuman
secukupnya, hukuman berat kerana rosakkan harta benda kerajaan,” katanya
kepada pemberita selepas Majlis malam santai industri pelancongan
Langkawi di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, malam
tadi.
KTMB menerusi kenyataannya semalam memohon orang ramai terutamanya
dalam musim pilihan raya supaya tidak melakukan vandalisme kerana ia
akan membahayakan keselamatan penumpang-penumpang, kru, dan pemandu
perkhidmatan syarikat pengangkutan awam itu.
KTMB juga menegaskan tindakan undang-undang boleh diambil kepada pihak
yang tidak bertanggungjawab dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010
(Akta 715), Seksyen 130, di mana jika disabit kesalahan boleh didenda
sebanyak RM50,000 dan 20 tahun penjara.
Sementara itu Nawawi yang juga calon BN Parlimen Langkawi menggesa
orang ramai yang menetap berhampiran landasan keretapi untuk lebih
bertanggungjawab.
“Mereka lebih bertanggungjawab, jangan membaling batu kerana
membahayakan penumpang, merosakkan harta kerajaan dan tindakan boleh
diambil.
“Saya akan maklumkan kepada pengurusan untuk kenal pasti lokasi-lokasi
yang ada masalah ini dan kita akan hantar keselamatan kita untuk buat
tindakan dan semakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan