KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor
menegaskan bahawa Umno bukanlah sebuah pertubuhan haram dan tidak sah
bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ini berikutan katanya, pemilihan Majlis Tertinggi Umno dibenarkan dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019.
Malah ujar beliau lagi, Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah diberi kuasa
di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan kuasa tambahan di bawah Seksyen 3A
Akta Pertubuhan 1966 yang berkuat kuasa dari 10 Jun 1988.
"Perlanjutan masa yang diberikan RoS kepada Umno untuk mengadakan
pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi Umno bagi tahun 2017 merupakan
kuasa tambahan RoS yang telah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
"Surat Pendaftar Pertubuhan Malaysia bertarikh 31 Oktober 2017
[Rujukan:PPM/WKL251/88 Jld.5(2)] yang dialamatkan kepada pejabat
Setiausaha Agung Umno Malaysia membenarkan pemilihan Majlis Tertinggi
Umno dijalankan selewat-lewatnya pada 19 April 2019," katanya dalam satu
kenyataan di sini hari ini.
Menurut Tengku Adnan, dakwaan yang tular di media sosial sejak beberapa
hari lalu itu telah menimbulkan keresahan di peringkat akar umbi
walaupun ia tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, ahli-ahli Umno adalah disarankan untuk terus kekal komited,
fokus dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar Barisan
Nasional (BN) dan Umno pada PRU14.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan