Sabtu, 7 April 2018

Pimpinan PPBM digesa mohon maaf secara terbuka

THE MALAYSIAN TIMES
 


ALOR SETAR: Lebih 30 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menggesa pucuk pimpinan parti membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kelemahan mereka sehingga menyebabkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah agar parti itu dibubarkan sementara.

Mereka yang terdiri daripada anggota PPBM akar umbi bagi bahagian Pendang, Jerai, Sungai Petani dan Alor Setar turut merasa diperbodohkan apabila masa, wang ringgit dan kerja kuat untuk parti selama ini menjadi sia-sia menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kami menuntut agar Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Timbalan Presiden PPBM), Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh serta Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli parti yang kini telah bergelar bekas ahli PPBM atas kelemahan mereka yang mengakibatkan parti terbubar.

Kita terpaksa menumpang simpati atau menjadi peminta sedekah kepada parti lain, kami amat malu dengan tindakan bodoh pemimpin kami sendiri,” kata anggota akar umbi PPBM bahagian Pendang, Shukor Shamsuddin, yang mewakili anggota parti akar umbi yang lain, dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Shukor berkata, anggota PPBM juga tidak boleh menyalahkan RoS kerana jabatan itu telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, sebaliknya pimpinan parti harus belajar daripada kesilapan besar yang dilakukan mereka sebelum menguruskan sesebuah parti.

“Kami melihat kepimpinan PPBM terutama Tun Mahathir dan yang lain mempunyai pengalaman,
tidakkah mereka tahu peraturan-peraturan Akta Pertubuhan. Adakah sebelum ini Persidangan UMNO dibuat tanpa mesyuarat di cawangan-cawangan serta bahagian-bahagian, salah tetap salah dan jangan nak perbodohkan kami untuk kami salahkan RoS pula,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim menerusi sidang medianya mengumumkan perintah pembubaran sementara PPBM mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.

Perintah itu memperuntukkan PPBM diberi tempoh 30 hari untuk menghantar semua dokumen yang diperlukan RoS dan jika ada rayuan dan ditolak, PPBM akan dibatalkan pendaftarannya.

Surayati dilaporkan berkata PPBM juga tidak boleh menggunakan nama dan logo parti dalam tempoh perintah pembubaran sementara itu serta tidak dibenarkan melaksanakan sebarang aktiviti berkaitan parti.– Bernama

Tiada ulasan: