
Pengerusi DAP, Tan Kok Wai mendedahkan partinya melancarkan strategi “Raja Lawan Raja” bagi menyampaikan mesej “perang terakhir” kepada pengundi dalam menghadapi PRU 14.
Menurutnya, strategi “Raja lawan Raja” itu bermaksud Melalui DAP telah memindahkan pemimpin popular daripada pimpinannya untuk menghadapi menteri dan pemimpin tertinggi dari parti majoriti Cina MCA dan Gerakan.
“Ini merupakan peluang terakhir, kami tidak tahu bilakah peluang seterusnya selepas ini,” katanya dalam wawancara dengan Sinchew Daily.
DAP sebelum ini mengesahkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong akan berdepan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam, Johor, sementara Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming akan berdepan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong di Teluk Intan, Perak.
Menghidu strategi itu, Presiden Gerakan Mah Siew Keong berkata jika beliau kalah di Parlimen Teluk Intan pada PRU 14 nanti, beliau tidak akan menerima pelantikan sebagai Senator dan dilantik menteri penuh.
“Saya tahu pembangkang propagandakan tidak kisah Mah Siew Keong kalah kerana dia tetap akan dilantik sebagai Senator dan menteri melalui jalan belakang sekali gus terus berkhidmat kepada pengundi.
“Saya bagaimanapun mahu memberitahu bahawa mereka tidak betul dan saya tidak akan menjadi menteri jika kalah dalam pilihan raya,” katanya kepada Sinchew Daily.
Siew Keong berkata, Gerakan akan terus wujud walaupun timbul slogan “bunuh Siew Keong untuk bunuh Gerakan” dalam alam maya.
“Gerakan yang berjuang untuk cita-cita Malaysia tidak akan hilang walaupun saya kalah dalam pilihan raya ,” katanya.
Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan penasihat DAP, Lim Kit Siang mengetuai misi menawan Johor telah berjumpa dengan veteran DAP Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Dr. Boo Cheng Hau untuk menjayakan misi tersebut.
Sinchew Daily melaporkan, Kit Siang sendiri bertandang ke klinik Cheng Hau untuk memujuknya bertanding di Labis, tetapi pujukan itu tidak berhasil.
Cheng Hau sebaliknya lebih cenderung untuk mempertahankan kerusi Skudai dan mahu menjadi ADUN di situ untuk penggal ketiga.
Labis merupakan antara kubu MCA di Johor yang mahu dirampas DAP. Labis yang pernah sinonim dengan Datuk Seri Chua Soi Lek berjaya dipertahankan anaknya, Datuk Chua Tee Yong pada pilihan raya lalu.
Keengganan Cheng Hau untuk bertanding di Labis bagaimanapun menyebabkan pencaturan DAP di dua lagi kerusi Parlimen Johor iaitu Kulai dan Kluang terkandas.
Penyandang kerusi Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pernah dikhabarkan mungkin dipindah ke Labis.
Bagi Kluang pula, penyandangnya iaitu Liew Chin Tong telah disahkan dipindah ke Ayer Hitam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menawarkan diri untuk berpindah dari Selangor ke Labis untuk membantu DAP menawan lebih banyak kerusi di Johor.
DAP bagaimanapun berpendapat Cheng Hau lebih sesuai untuk bertanding di Labis berbanding Gobind.
Gobind dikatakan patut dikekalkan di Lembah Klang kerana beliau sibuk dengan pelbagai kes mahkamah membabitkan pemimpin DAP.
Walau bagaimanapun, keengganan Cheng Hau untuk bertanding mungkin menyebabkan DAP meletak Gobind di Labis dalam usaha parti itu merobohkan kubu MCA di Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan