Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
KUALA LUMPUR: PAS hari ini menegaskan partinya bersedia untuk
mendedahkan bukti yang disimpannya mengenai cubaan beberapa pemimpin
Amanah mencantas kuasa Majlis Syura Ulama (MSU), semasa menganggotai
parti itu.
Malah Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya
ada pemimpin Amanah terus mengeluarkan kenyataan bahawa Datuk Seri Hadi
Awang berbohong mengenai perkara tersebut, bukti itu akan dikeluarkan.
“Kita (PAS) ada bukti, boleh tunjukkan kepada mereka. Kalau mereka
mahu mereka boleh buat kenyataan sekali lagi, tak perlu cabar. Buat
kenyataan bahawa ia tidak ada (tapi) kami mengesahkan ia ada. Draf
tersebut yang memberi cadangan, pihak AJK PAS Pusat boleh memecat (ahli)
Majlis Syura Ulama (MSU). Itu yang dicadangkan jawatankuasa ini.
"Sebelum ini dalam MSU dikalangan mereka boleh menggugurkan ahli
mereka atas alasan contohnya tak hadir mesyuarat beberapa kali, ahli
mereka yang tak aktif,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat
PAS Pusat di Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Takiyuddin lagi, cadangan ini sengaja dirangka dalam cubaan
mengehadkan kuasa Majlis Syura Ulama (MSU) yang selama ini membuat
keputusan dalam PAS.
“Ia suatu langkah yang cuba untuk kurangkan kuasa MSU, (yang) sebagai
badan tertinggi untuk menentukan perjalanan PAS dan membuat keputusan.
Jadi dengan cadangan ini, MSU sudah tidak boleh lagi boleh masuk campur.
"Jadi Jawatankuasa PAS tidak memasukkan dalam muktamar, selepas 2015
jawatankuasa baru kaji balik dan jumpa cadangan tersebut,” ujar beliau.
Menurut Takiyuddin kali terakhir perlembagaan PAS dipinda adalah pada 2011.
Abdul Hadi pada Sabtu lalu mendedahkan ada cubaan mengehadkan kuasa
MSU oleh pihak tidak bertanggungjawab yang kini memimpin Amanah beberapa
tahun lalu bagi memperkukuhkan kerjasama dengan DAP.
Menurut beliau, perkara itu diketahui apabila golongan terbabit cuba
melakukan pindaan perlembagaan parti melalui sebuah jawatankuasa yang
bernaung di bawah Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi (LUHAM) PAS.
Menurutnya, kumpulan terbabit cuba membawa usul pindaan perlembagaan
berkenaan tetapi usul tersebut ditolak sebelum Muktamar PAS 2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan