Rabu, 11 April 2018

Pakatan Harapan Berjaya Cairkan Kuasa Politik Melayu – Dr Kamarul

Dr Kamarul Zaman Yusoff

 



Saya tertarik dengan dapatan kaji selidik Dr Junaidi Awang Besar di dalam Siri Wacana Cendiakawan ATMA bertajuk “Kelangsungan Kuasa Politik Melayu Di Pentas Sunda” di UKM hari ini yang mendapati majoriti orang Melayu yang dikaji dalam kajian beliau pada tahun lalu bersetuju bahawa kuasa politik Melayu itu penting, mempertahan serta mengekalkan kuasa politik Melayu itu penting serta institusi Raja-Raja Melayu itu penting.

Pada pandangan saya, dapatan kaji selidik Dr Junaidi ini menguatkan lagi tanggapan banyak pihak bahawa Pakatan Harapan tidak akan menang dalam PRU 14 kerana jika Pakatan Harapan menang dalam PRU 14, maka kuasa politik Melayu akan menjadi cair kerana enam faktor berikut:

(1) Tiada mana-mana parti politik Melayu yang akan menjadi dominan dalam Pakatan Harapan, sebaliknya yang akan menjadi dominan adalah parti politik bukan Melayu. Ini kerana parti politik Melayu dalam Pakatan Harapan berpecah tiga berbanding hanya ada satu sahaja parti politik bukan Melayu, iaitu DAP.

(2) Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan adalah bayangan kepada falsafah politik yang menjadi pegangan DAP, iaitu Malaysian Malaysia, yang mementingkan aspek meritokrasi dan kesamarataan antara semua kaum yang sekali gus akan mencairkan kedudukan Melayu dalam semua aspek.

(3) Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan cuba menghakis kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku benteng kuasa politik Melayu dengan menjadikan kuasa Yang di-Pertuan Agong di dalam pelantikan pegawai tertinggi kerajaan, khususnya Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, tertakluk kepada kuasa parti politik.

(4) Manifesto PRU 14 Pakatan Harapan akan membolehkan perjuangan DAP untuk membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya berdasarkan kepada prinsip satu orang satu undi (one man one vote) terlaksana sekali gus akan melipatgandakan kerusi bandar berbanding kerusi luar bandar dan kerusi separa bandar.

(5) Di dalam jangka panjang, Kerajaan Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP akan membuka jalan kepada bukan Melayu menjadi Perdana Menteri selaras dengan kenyataan Lim Guan Eng di Singapura pada 10 Disember 2014 bahawa jika Perlembagaan Persekutuan kekal maka bukan Melayu boleh jadi Perdana Menteri.

(6) Rekod Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir, yang tidak baik dengan Raja-Raja Melayu sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri malah sehingga sekarang pun beliau menghadapi masalah dengan Sultan Kelantan, Sultan Johor dan Sultan Selangor menjadikan sukar untuk Pakatan Harapan menghormati Raja-Raja Melayu.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tiada ulasan: