Isnin, 9 April 2018

Logo PKR: Pengundi DAP paling terkesan

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penggunaan simbol PKR sebagai logo rasmi bagi Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal memberikan kesan kepada sokongan pengundi Cina terhadap gabungan itu.
 
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, pengundi DAP yang paling terkesan apabila lambang 'roket' sudah tidak lagi digunakan, lebih-lebih lagi ia sudah 'sebati' dengan mereka sejak lebih 50 tahun yang lalu. 
 
Malah katanya, penyokong mereka akan merasa ragu dan dikhianati apabila tiada lagi pihak yang kononnya memperjuangkan prinsip Malaysian Malaysia (kesamarataan).
 
"Jadi pada pandangan saya tindakan ini boleh menjejaskan DAP untuk mengekalkan sokongan yang diperolehi daripada pengundi Cina dan bukan Melayu sebab sudah tentu akan timbul tanggapan di kalangan penyokong setia DAP bahawa DAP telah lari daripada dasar perjuangannya.
 
"Sebab apa yang mereka tahu mengenai DAP, DAP ialah sebuah parti sekular yang memperjuangkan prinsip Malaysian Malaysia (kesamarataan), jadi ini direalisasikan dengan DAP, simbol roket.
 
"Jadi bila DAP bertukar ke lambang lain iaitu PKR maka sudah tentu akan ada keraguan di kalangan penyokong DAP," katanya kepada Antarapos.
 
Jumaat lalu, Pakatan Harapan (PH) secara rasmi mengumumkan gabungan itu akan menggunakan logo PKR pada PRU14.
  
Untuk rekod, PH sebelum ini mengumumkan pendirian untuk bertanding di bawah satu logo bagi PRU kali ini.
 
Penggunaan logo PKR itu sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa kurang senang ahli akar umbi DAP yang selama ini memperjuangkan parti itu.
 
Ia nyata apabila kehampaan disuarakan salah seorang pengasas DAP, Dr. Chen Man Hin yang menganggap parti yang pernah diasaskannya itu sepatutnya meneruskan sahaja hasrat untuk menggunakan logo sendiri pada PRU14.
 
Malah Man Hin yang juga bekas Pengerusi DAP itu mengakui berasa amat sedih kerana kepemimpinan tertinggi yang diketuai Penasihat, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng apabila terpaksa ‘mengorbankan’ logo yang begitu sinonim dengan parti tersebut.
 
Tak beri impak
 
Sementara itu, mengulas lanjut Kamarul Zaman berkata, pemilihan logo PKR itu sebenarnya tidak akan menambahkan sokongan pengundi Melayu terhadap PH.
 
Ujarnya, PKR selama ini bukannya parti yang memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam semata-mata, malah parti itu dianggotai mereka yang datang daripada pelbagai kaum.
 
Justeru, untuk mengatakan bahawa penggunaan logo PKR ini sebagai strategi untuk memperdaya orang Melayu, ia bukanlah satu kenyataan yang tepat.
 
"Penggunaan logo PKR ini sebenarnya tidak akan memberikan banyak impak kepada hasrat PH untuk mendapatkan undi Melayu sebab PKR ini tidak dikenali sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu.
 
"Macam mana nak kata penggunaan logo PKR akan menambahkan sokongan pengundi Melayu sedangkan kita tahu ramai pemimpin PKR itu sendiri bukan bangsa Melayu dan bukan beragama Islam malah dasar perjuangan parti itu juga tidak tegas mengenai kepentingan Melayu dan Islam.
 
"Saya tidak nampak strategi ini untuk memperdaya (orang melayu), sebab orang Melayu memang sudah tahu PKR bukan satu parti yang kuat memperjuangkan Melayu atau Islam," katanya lagi.
 
Sebelum ini, Menteri komunikasi dan multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata PH mungkin memilih lambang PKR untuk memberikan gambaran seolah-olah gabungan itu sudah menjadi “lebih Melayu”.
 
Salleh berkata demikian berdasarkan kepada kenyataan pemimpin PKR sendiri, Rafizi Ramli, berdasarkan kajian badan kaji selidik, Invoke Malaysia, dan oleh itu, PH perlu mencari cara lain untuk meyakinkan orang Melayu mengundi mereka.
 
 

Tiada ulasan: