Sabtu, 7 April 2018

Logo PKR: Lebih banyak drama dalam PH

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Keputusan Pakatan Harapan (PH) supaya parti komponennya menggunakan logo PKR hanya akan mencetuskan lebih banyak drama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
 
Naib Presiden PAS Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pendekatan tersebut sukar diterima dan hanya akan menimbulkan konflik dalaman memandangkan setiap parti mempunyai ideologi berbeza.
 
“Saya melihat penggunaan satu logo ini hanya akan cetuskan masalah yang banyak sebab kita tahu perbezaan ideologi dan sikap parti-parti. Mereka sukar terima satu logo, terutama DAP. Takkan dia nak guna lambang PKR. Begitu juga PPBM.
 
“Selain itu, perkara ini juga mengelirukan dan mungkin mencetuskan salah faham dalam kalangan penyokong. Perbalahan sesama mereka merupakan antara yang kita jangka berlaku,” katanya di sini hari ini.
 
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sidang akhbar khas Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkuat kuasa hari ini setelah mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra.
 
Semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan kesemua parti dalam PH tersebut bakal menggunakan logo PKR sebagai logo bersama dalam menghadapi PRU14.
 
Pengumuman itu adalah susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap PPBM mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 kerana gagal mengemukakan maklumat dan dokumen diminta jabatan itu.
 
Mengulas lanjut perkara itu, Mohd. Amar berkata, situasi menimpa PPBM tidak sepatutnya berlaku dan sebagai sebuah negara demokrasi, semua parti perlu diberi peluang bertanding secara adil tanpa menggunakan alasan berkaitan perkara teknikal.
 
 

Tiada ulasan: