Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
PUTRAJAYA: PPBM pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dibelit pelbagai
masalah dalaman diarah bubar sementara setelah parti itu gagal
melaksanakan arahan Pendaftar Pertubuhan untuk mengemukakan dokumen
tertentu kepadanya.
Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata PPBM didapati melanggar
Akta Pertubuhan walaupun diberi cukup ruang untuk mengemukakan
dokumen-dokumen berkenaan.
"Perintah (pembubaran sementara) tersebut adalah…kerana PPBM gagal
serahkan sepenuhnya dokumen yang diminta mengikut Seksyen 14 (2) Akta
Pertubuhan 1966,” kata beliau.
Surayati berkata PPBM diberi 30 hari untuk membuat rayuan terhadap
keputusan itu namun perlu mengemukakan semua dokumen-dokumen yang
diminta RoS.
Jika gagal berbuat demikian, PPBM akan secara automatik terbubar, beliau memberitahu sidang media di sini sebentar tadi.
Pembubaran sementara PPBM bermakna Pakatan Harapan yang disertai oleh
parti itu bersama DAP, PKR dan Amanah tidak boleh berdaftar sebagai
sebuah parti politik demi menggunakan logo sama untuk PRU14.
Dalam keadaan itu, Dr Mahathir berkata calon-calon PH akan menggunakan
logo satu daripada tiga parti lain di dalam gabungan itu.
Beberapa pemimpin PKR mengesahkan sudah ada persetujuan untuk calon
calon PH menggunakan logo PKR pada PRU14 sungguhpun keputusan itu tidak
disenangi DAP.
Pengumuman mengenai logo itu akan dibuat esok oleh Dr Mahathir sendiri di Pasir Gudang Johor.
PPBM ditubuhkan tahun lalu selepas Dr Mahathir, anaknya Mukhriz dan
Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar Umno setelah gagal mendapat sokongan
dalam parti itu untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun PPBM ditimpa masalah perbalahan di kalangan pemimpin
utamanya selain gagal mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan
bahagian.
Keadaan itu menyebabkan ribuan ahli PPBM keluar parti di beberapa negeri, termasuk Kedah, Negeri Sembilan dan Perak.
Mengulas keputusan RoS hari ini, Ketua Penerangan PPBM Datuk
Kamaruddin Md Noor berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis
mengenai pembubaran itu dan menimbang untuk mengambil tindakan terhadap
RoS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan