Bersungguh-sungguh sekali nampaknya DAP berusaha untuk menghapuskan persepsi bahawa ia adalah sebuah parti politik yang bersifat anti Melayu dan anti Islam.
Hari ini, 20 April 2018, lidah rasmi DAP, RoketKini, menyiarkan kenyataan peguam Syahredzan Johan, anak Tan Sri Johan Jaafar dan kolumnis akhbar MCA, The Star.
Disebutkan mengenai tindakan Syahredzan terjun membantu usaha kempen DAP bersama Pakatan Harapan di Johor baru-baru ini yang didakwa menarik perhatian ramai.
Dimuatkan juga pesanan Syahredzan: “Untuk orang Melayu khususnya, jangan gusar untuk menukar kerajaan. Hak Melayu dan Islam dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.”
Hari ini juga RoketKini menyiarkan kenyataan bekas aktres popular Wardina Safiyyah yang berkata beliau “tidak percaya DAP mahu mengambil alih dan tidak hormat Islam”.
Dimuatkan tulisan Wardina di laman Facebook: “DAP sebagai modal nak takutkan orang Islam? Sudah-sudahlah main sentimen agama. Orang sekarang dah bijak banyak.”
Masalah dengan penggunaan individu seperti Syahredzan dan Wardina untuk membaiki imej anti Melayu dan anti Islam DAP ini adalah ia hanya ucapan bukan perbuatan.
Walhal sudah lama pemimpin-pemimpin tinggi AMANAH dan PKR menyebut mengenai keperluan mengubah persepsi Pakatan Harapan tidak cukup Melayu Islam.
Di dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 November 2016 lagi Timbalan Ketua Wanita AMANAH, Aiman Athirah Al Jundi, menimbulkan perkara ini.
Kata Aiman, Pakatan Harapan perlu menyediakan dokumen agenda Melayu Islam bagi mengatasi masalah kebimbangan pengundi Melayu Islam pada PRU 14.
Tambah Aiman lagi, jika tawaran dokumen agenda baru Melayu Islam ini gagal dikeluarkan olehnya maka Pakatan Harapan akan mengalami kekalahan pada PRU 14.
Cakap-cakap mengenai keperluan meyakinkan pengundi Melayu Islam ini malah telah ditimbulkan pada 19 Januari 2016 lagi oleh Datuk Saifuddin Abdullah.
Datuk Saifuddin selaku Ketua Setiausaha Pakatan Harapan menyebut Dasar Bersama Pakatan Harapan akan diumum secara berperingkat bermula dengan “Naratif Melayu”.
Begitu juga dengan penegasan sama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, sendiri di dalam Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia anjuran DAP pada 7 Februari 2017.
Mohamad menyebut, pada PRU 13, janji Pakatan Rakyat cukup menarik seperti “nak hapuskan PTPTN, nak hapuskan tol, nak beri elaun kepada wanita yang tidak bekerja”.
Malangnya, kata Mohamad, Pakatan Rakyat kalah pada PRU 13 kerana gagal meyakinkan orang Melayu mengenai jaminan nasib mereka jika ia menang pada PRU 13.
Kata Mohamad, pada PRU 14 pun isunya sama, isu dah terlalu banyak, tetapi persoalannya ialah untuk membina keyakinan orang Melayu apa akan jadi kepada mereka.
Begitupun, di sebalik desakan Aiman, di sebalik janji Datuk Saifuddin dan di sebalik keluhan Mohamad, agenda baru Melayu Islam dan Naratif Melayu tidak juga kunjung tiba.
Ditambah pula dengan pelbagai kenyataan dan tindakan pemimpin DAP selepas itu yang semakin melemahkan keyakinan orang Melayu Islam terhadap Pakatan Harapan.
Tidak hairanlah bila Januari lalu kajian Wan Saiful Wan Jan yang diterbitkan oleh ISEAS mendapati 71% masyarakat Melayu Johor berpendapat DAP anti Melayu dan anti Islam.
Hari ini, kajian terbaru Wan Saiful yang diterbitkan oleh ISEAS mendapati pengundi Melayu bandar sendiri pun ragu-ragu untuk menyokong Pakatan Harapan kerana isu Melayu.
Ia, mengikut kajian terbaru Wan Saiful, berlaku walaupun pengundi Melayu bandar ini sangat tidak gembira dengan keadaan ekonomi negara dan bimbang dengan rasuah.
Oleh itu, araklah Tun Dr Mahathir Mohamad ke ceruk mana pun dan bawalah personaliti popular mana pun, Pakatan Harapan akan tetap kalah kerana isu Melayu Islam ini.
Pakatan Harapan tidak akan menang kerana orang Melayu Islam tidak yakin kepadanya dan ini malah terbukti di dalam kata-kata Aiman dan Mohamad serta kajian-kajian Wan Saiful.
Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan