SHAH ALAM: Kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
berhubung penarikan balik darjah kebesaran negeri Kelantan yang membawa
gelaran ‘Datuk' terhadap dua pemimpin Amanah di negeri berkenaan,
diibaratkan seperti lebih sudu dari kuah, kata seorang penganalisis
politik, Dr Kamarul Zaman Yusof.
Beliau merujuk kepada kenyataan Mujahid yang menyifatkan Naib Presiden
Amanah, Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abd Rahim Wan
Abdullah menjadi 'mangsa' ekoran tegas menegakkan prinsip perjuangan.
"Kata mereka, tindakan Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran
yang membawa gelaran Datuk ke atas Haji Husam dan Haji Wan Abdul Rahim
ini tidak sepatutnya dibuat kerana ia kononnya merupakan satu
campur-tangan pihak istana di dalam urusan politik negeri Kelantan,
kerana ia kononnya mempunyai motif politik tertentu atau kerana ia
kononnya dibuat di atas cadangan dan desakan lawan politik kepada PAN
(Amanah) di Kelantan.
"Lebih teruk ialah komen Naib Presiden PAN (Amanah) Datuk Dr Mujahid
Yusof Rawa, yang bukan pun anak Kelantan tetapi adalah anak Pulau Pinang
yang mencari makan di Perak, yang berlagak lebih sudu dari kuah dengan
mendakwa kononnya penarikan balik darjah kebesaran ini dibuat kerana
ketegasan Haji Husam dan Haji Wan Abdul Rahim dalam menegaskan prinsip
mereka seolah-olah mereka menjadi mangsa kepada perjuangan mereka,"
katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan Harakahdaily.
Mujahid semalam memuat naik satu posting di laman sosial Facebook beliau, yang berbunyi:
"Mulianya seseorang bukan kerana pangkatnya tetapi kerana ketegasannya
dan kerana itu dia hilang pangkatnya. Kami bangga dengan ketegasan dan
kesopanan anda berdua dalam menegaskan prinsip..SALUTE!"
Posting itu bagaimanapun turut mendapat reaksi sinis daripada pelayar
yang bersetuju dengan tindakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V
menarik balik darjah kebesaran terhadap dua pemimpin parti serpihan PAS
itu.
Kamarul Zaman juga membangkitkan tindakan segelintir pemimpin Amanah
yang gemar menjaja nama bapa saudara Sultan Kelantan, Tengku Mohamed
Tengku Yahya Petra di dalam majlis parti untuk kepentingan politik
mereka.
Tengku Mohamed mengumumkan menyertai Amanah pada November 2016 kerana
mendakwa kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang tidak turun padang
menyelesaikan masalah rakyat.
"...bukanlah satu cubaan untuk mempolitikkan istana dan satu cubaan
untuk memberikan persepsi tertentu terhadap Sultan Muhammad V hanya
untuk kepentingan politik PAN (Amanah)?," soalnya.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata menambah, sejarah penarikan balik
darjah kebesaran terhadap ahli politik bukan pertama kali berlaku di
Kelantan.
"...sebelum ini pun tiga orang bekas Menteri Besar dan seorang bekas
Timbalan Menteri Besar Kelantan, iaitu Tan Sri Mohd Asri Muda, Datuk
Ishak Lotfi Omar, Tan Sri Mohamed Yaacob dan Tan Sri Hussein Ahmad, juga
pernah ditarik balik darjah kebesaran mereka oleh Sultan Ismail Petra.
"Di sebalik menjulang tanpa usul periksa pihak yang ditarik balik
darjah kebesaran ini dengan cuba memberikan persepsi tertentu ke
atasnya, apatah lagi bila pihak yang ditarik balik darjah kebesaran ini
sendiri menyebut mereka sendiri tidak mengetahui punca penarikan balik
ini dibuat, Dr Mujahid dan pihak-pihak tertentu ini sepatutnya
menggunakan ruang ini untuk menggesa pihak yang ditarik balik darjah
kebesaran ini melakukan sedikit muhasabah diri," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan