PUTRAJAYA: Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan hibah atau bonus kepada
pendeposit sebanyak 4.50 peratus dan tambahan hibah haji 1.75 peratus
kepada yang belum menunaikan haji bagi tahun kewangan 2017.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ia melibatkan pembayaran berjumlah RM2.7 bilion.
"Bayaran hibah sebanyak 6.25 peratus ini akan memberi manfaat kepada 93
peratus atau 8.7 juta pendeposit yang belum menunaikan ibadat haji.
"Bagi 600,000 pendeposit yang telah menunaikan haji akan menerima hibah
sebanyak 4.50 peratus," katanya ketika mengumumkan agihan hibah itu, di
sini semalam.
Untuk rekod, TH mengumumkan 4.25 peratus hibah tahunan dan tambahan
hibah haji sebanyak 1.5 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan
haji bagi tahun kewangan 2016 melibatkan pembayaran berjumlah RM2.88
bilion.
Pendeposit boleh mula menyemak pengkreditan hibah TH 2017, Isnin ini (12 Feb).
Jamil Khir berkata pengagihan hibah itu telah mengambil kira pembayaran
zakat sebanyak RM68 juta kepada semua pusat pungutan zakat negeri dan
kepada asnaf-asnaf yang layak di seluruh negara.
Menurutnya, TH mencatatkan prestasi kewangan lebih baik pada tahun 2017
berbanding 2016, dengan pendapatan kasar meningkat sebanyak RM1.1
bilion atau 31 peratus kepada hampir RM4.5 bilion, berbanding tahun
kewangan 2016 sebanyak RM3.4 bilion.
"TH juga merekodkan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak hampir
RM2.8 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM0.3 bilion (13 peratus)
berbanding tahun 2016 sebanyak RM2.5 bilion," katanya.
Tambahnya, anak-anak syarikat TH turut menyumbang kepada pendapatan
tersebut sebanyak RM1.1 bilion antaranya BIMB Holdings Berhad (RM706
juta), TH Properties Sdn Bhd (RM113 juta), Kumpulan TH Hotel &
Travel (RM104 juta), TH Trust (RM82 juta), Kumpulan LTH Property
Holdings Ltd (RM82 juta) dan TH Plantations Berhad (RM50 juta).
Selari dengan amalan pengurusan portfolio baik, Jamil Khir berkata TH
juga telah melakukan rosot nilai sebanyak RM470 juta bagi pelaburannya
di dalam syarikat minyak dan gas yang telah dan masih terjejas ekoran
kemelut melanda industri itu.
Dalam pada itu, Jamil Khir berkata TH telah membelanjakan sebanyak
RM356 juta bagi pengurusan haji pada tahun 2017, dengan RM298 juta
adalah subsidi haji dan RM58 juta bagi kos tidak langsung termasuk kos
kesihatan, kaunseling dan bimbingan haji.
Katanya, sebanyak RM2.41 juta pula diperuntukkan bagi membiayai 713
warga tua dan kurang berkemampuan untuk menunaikan haji melalui Dana
Tabung Warga Tua.
Bagi tahun ini, Jamil Khir berkata TH menanggung subsidi haji sebanyak
RM12,470 atau 56 peratus daripada kos haji bagi seorang jemaah haji
muassasah kali pertama.
Katanya ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM400 juta, susulan kenaikan kos haji sebanyak 15 peratus kepada RM22,450.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan