Selasa, 6 Februari 2018

Punjabi boleh mohon saham AS1M bawah kategori India, kata Wahid



Punjabi boleh mohon saham AS1M bawah kategori India, kata Wahid
Tiada isu sebenarnya, memang mereka diklasifikasikan sebagai masyarakat India, kata Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Abdul Wahid Omar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 
 
MASYARAKAT Punjabi boleh memohon Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) menggunakan kategori "India" sekaligus isu mereka tidak dibenarkan memohon saham berkenaan tidak timbul, kata Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Abdul Wahid Omar.

"Memang mereka dalam kategori masyarakat India, tiada isu sebenarnya, memang mereka diklasifikasikan sebagai masyarakat India," kata Wahid.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan sistem PNB pada waktu ini hanya membenarkan keturunan "India" untuk memohon unit AS1M dan bukan sub-etnik lain.

Timbalan Presiden MIC, SK Devamany juga membuat gesaan kepada PNB untuk menyelesaikan isu itu yang menurutnya menimbulkan rasa kurang senang oleh sub-etnik yang lain.

"Sistem itu hanya menunjukkan mereka bukan 'India' jika mendaftar sebagai 'Punjabi'. Ia akan secara automatik menolak (permohonan keturunan Punjabi)," kata Devamany.

Beliau turut berkata pihaknya telah memaklumkan isu berkenaan kepada Wahid melalui sepucuk surat.

"Saya sudah menulis kepada PNB dan minta mereka untuk pertimbang semula perkara ini. Kami merayu supaya mereka buat pengecualian untuk orang India yang tidak didaftarkan sebagai berketurunan India," katanya.

Jelasnya, beliau turut memaklumkan bahawa golongan yang dinyatakan sebagai keturunan "Punjabi, Sikh dan Kaur" dalam kad pengenalan dan sijil kelahiran tidak dibenarkan untuk mendaftar untuk saham AS1M kerana sistem itu tidak mengiktiraf mereka sebagai orang India.

Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggesa PNB yang menguruskan AS1M dan Jabatan Pedaftaran Negara (JPN) supaya menyelesaikan masalah ini memandangkan saham itu terhad.

Proses pendaftaran bagi pelbagai transaksi di Malaysia kebiasaannya memerlukan pemohon menyatakan keturunan mereka dan pilihan itu sering dihadkan kepada Melayu, Cina dan India.

Sementara itu, PNB dalam satu kenyataan menjelaskan, pendaftaran untuk unit saham berkenaan dijalankan berdasarkan maklumat kad pengenalan.

“Pendaftaran bagi kesemua tabung unit amanah di bawah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh PNB, adalah mengikut kepada maklumat dalam kad pengenalan yang dikeluarkan oleh JPN.

“Oleh yang demikian, kesemua rakyat warganegara Malaysia yang mendaftarkan diri mereka sebagai berketurunan India dalam sistem JPN adalah layak melabur dalam skim ini,” kenyataan itu dipetik

Tiada ulasan: