DETIK DAILY
Oleh HISHAMUDDIN RAIS
Semua pelabun dan tukang karut politik bertanya. Pemerhati politik
pelbagai jenis 'kangkung' juga bertanya. Mereka bertanya: Kenapa Najib
tidak bubar parlimen lapan bulan dulu dan adakan PRU14?
Ini soalan yang masih belum mendapat jawapan tuntas. Apakah duit 1MDB
sudah habis? Apakah Najib belum mendapat mimpi? Apakah Rosmah masih
belum puas membeli-belah? Tidak ada satu jawapan yang dapat
menenteramkan jiwa sesiapa sahaja yang bertanya.
Tapi ada satu jawapan yang amat-amat meyakinkan. PRU14 belum
dijalankan kerana wujudnya ‘gaduh dalaman’ yang maha hebat antara
ketua-ketua bahagian. Dikatakan lebih 70 bahagian parti United Malays
National Organisation sedang bergaduh sesama sendiri.
Pergaduhan dalaman untuk merebut kerusi 'Why Be' hinggakan
bekas MB Perlis Tuan Haji Shahidan Kassim terpaksa memberi amaran. Si
Shahidan ini memberi ingatan kepada ahli United Malays National
Organisation agar jangan bergaduh secara terbuka. Gaduh senyap-senyap
dan tikam-tikam dalamgelap agar jangan dicium oleh media.
Tikam gelap-gelap ini pula dikatakan menyebabkan Tuan Haji Zambry MB
Perak menjadi mangsa. Tuan Haji Adnan MB Pahang dilaporkan juga sedang
menggelupur. Tuan Haji Idris Harun ketua menteri Melaka juga sedang
merana takut. Dan paling jelas ialah Tuan Haji Khaled Nordin sedang kena
tibai apabila kawannya exco perumahan dan kerajaan tempatan ditangkap.
Tidak cukup dengan ini, Sabah dan Sarawak mahu menilai dan mengkaji
kembali Perjanjian Malaysia 1963. Senang cakap, Sabah dan Sarawak
melihat Najib ini lemah.
Amat jelas jika PRU14 diadakan tahun lalu, tim gerombolan pimpinan
Najib akan menang dengan senang. Ini ketika Pakatan Rakyat ketika itu
sedang bernafas dalam lumpur. Ini sebelum anak-anak muda memanggil Tuan
Haji Hadi Awang dengan nama “Eddy Wang” yang bunyinya lebih cool. Ini
sebelum kes saman Tuan Haji Hadi Awang dibuka di London. Ini sebelum
bini al-ustaz Takiri mendapat kereta Audi baru.
Sekarang, masuk tahun 2018, semuanya sudah berubah. Pakatan Harapan
telah wujud. Mahathir Muhamad telah dilantik sebagai pengerusi. Mahathir
telah juga menjadi calon HARAPAN untuk menyandang tugas perdana
menteri.
Hantu raya dan kumpulan kugiran mak lampir yang heboh ke hulu ke
hilir memukul rebana dan tetawak di Konvensyen Pakatan Harapan bulan
lalu telah dapat dipaku. Polong-polong tak bertuan yang masih
berkeliaran telah hilang taring. Ada polong tak bertuan telah dimasukkan
kembali ke dalam kotak. Apa yang jelas polong polong ini telah tidak
lagi dapat menakut sesiapa pun.
Pakatan Harapan secara perlahan-lahan mengenap, mengeras, membeku dan
menjadi kompak dalam satu organisasi tersusun. Kelam kabut semakin
reda. Agihan kerusi hampir selesai. Bak kata Orang Putih - Pakatan
Harapan is on the go.
Jika sekarang PRU14 dijalankan, jawabnya amat jelas, BN akan bungkus. Najib dan Rosmah tidak akan sempat lari ke Kazakhstan.
Jika minggu depan PRU14 diadakan, maka pada pagi ini Jabatan Kerja
Raya akan mendapat arahan baru. Bilik penjara Sungai Buluh yang telah
dikosongkan oleh Anwar Ibrahim akan diubah suai sedikit. Satu katil besi
akan dipesan dari Korea. Katil besi khas untuk pemimpin negara sedia
ada.
Kenapa heboh-heboh?
Lalu timbul persoalan, jika dalam PRU14 Najib dan United Malays National
Organistian akan kalah apa yang nak dirisau? Kenapa heboh-heboh?
Bukankah ini yang dimimpi-mimpikan oleh 30 juta rakyat Malaysia? Khalas.
Sabar dulu. Begini kisahnya.
Mahathir Muhamad pengerusi HARAPAN telah lebih dua kali berkata ada
kemungkinan PRU14 akan dibatalkan. Pada 6 Januari 2018 dalam Ucapan
Penutup Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam, Mahathir telah
menimbulkan perkara ini.
“PRU14… mungkin tidak ada.”
Pada petang Sabtu 3 Februari 2018 dalam Dewan Yayasan Perdana di
Putra Jaya sekali lagi Mahathir menimbulkan perkara yang sama. Di
hadapan hampir 400 orang anak muda Mahathir memberi ingatan bahawa ada
suatu rancangan.
Apa rancangan ini?
Mengikut pandangan Mahathir, jika sokong terhadap BN dan
konco-konconya semakin susut dan tidak menjamin kemenangan, maka PRU14
akan dibatalkan.
Mahathir juga berkata, jika sesudah PRU14 Najib menang tipis maka
mungkin ada rancangan membuat huru-hara untuk memastikan yang ada terus
berkuasa.
Mengikut pandangan Mahathir, Si Najib ini akan menggunakan kuasa Majlis Keselamatan Negara dan kuasa darurat.
Apakah kata-kata Mahathir ini tepat? Apakah ini benar? Apakah kenyataan sebegini masuk akal?
Apa yang penting ialah kita wajib menggunakan akal dan fikrah untuk
menilai apa saja kata-kata sang politikus. Kita sebagai warganegara yang
bertanggungjawab wajib terus berwaspada. Kita wajib melihat dari semua
sudut sebelum membuat satu-satu keputusan, apatah lagi kali ini tentang
darurat dan keselamatan negara.
Pencerahan Mahathir tentang rancangan jahat Najib di Forum Anak Muda
Sabtu lalu telah dijawab oleh menteri Salleh Keruak. Si Salleh ini pasti
telah diarahkan untuk menjawab. Kalau dahulu ada Azalina dan ada Rahman
Dahlan untuk menjadi benteng Najib, kini nampaknya yang tinggal hanya
Salleh sebatang kara.
Kenapa perlu Salleh menjawab dan menafikan? Kalau semua ini hanya
‘ngong’ dari Mahathir. Kalau labun ini hanya putar alam dari Mahathir,
kenapa Salleh bertegang lidah menafikan? Apakah ada buaya di sebelah
bangkai? Apakah ada Rosmah di sebalik Birkin?
Kebiasaan di Malaysia ini, apa sahaja yang dinafikan oleh perdana
menteri, menteri atau menteri besar atau oleh mufti atau oleh sesiapa
sahaja, ertinya perkara yang dinafikan itu wujud. Ini cara kita membaca
media dalam negara dunia ketiga yang bernama Malaysia ini.
Justeru, mari kita renungkan betul-betul dan leraikan apakah Mahathir ini berkata benar.
Jaringan penyokong Mahathir
Pertama, si Mahathir ini telah menjadi PM selama 22 tahun. Ini
bermakna sosok ini masih lagi memiliki jaringan penyokong dalam kerajaan
Najib. Mustahil tidak ada pegawai polis, pegawai tentera, pegawai
risikan yang hati perut mereka telah lama terikat kepada Mahathir.
Lihat sahaja jeneral bersara ketua-ketua angkatan bersenjata yang
mara ke hadapan apabila pengawal peribadi Mahathir 'dihapuskan'.
Kumpulan Patriot ini semuanya penyokong tegar Mahathir.
“Tun, boleh berjumpa? Ada hal.”
Pasti ada juga ahli-ahli perniagaan yang menjadi kaya raya kerana
projek Tun. Jika si kaya ini terdengar gosip atau tercium kentut busuk
Najib atau dengar khabar-khabar angin pasti mereka juga akan membuat
sesuatu.
“Ello Sopi, could you arrange a meeting with Tun. Rather urgent.”
Malah terbukti jelas Mahathir juga masih ada hubungan lagi dengan
sosok-sosok bekas menteri. Pasti masih berhubung dengan gedebe-gedebe
dalam United Malays National Organisation sekarang. Kecuali Khairy,
Azalina, Rahman Dahan dan Salleh Kerouk, semua kabinet Najib yang
sekarang ini tahu bahawa Najib ini berdepan dakwaan sebagai seorang
pencuri dan penyamun.
Menteri dan para gedebe United Malays National Organisation sedar dan
tahu siapa sebenarnya Najib. Mulut mereka mungkin disumbat dedak. Jadi
amat susah untuk bercakap. Tetapi jika ombak Melayu mengampuh dalam
PRU14 ini, semuanya akan berubah.
Contoh terbaik ialah Isa Samad yang tahu apa yang telah berlaku di
Port Dickson. Justeru jika kaki Isa Samad terus dipijak oleh Najib, maka
si katik ini pasti akan menelefon Tun Mahathir.
Contoh paling afdal yang terbaru ialah ketua Orang Asli Gua Musang
Tengku Razaleigh telah mengakui kepimpinan Mahathir. Dan ini disambut
baik oleh Samy Velu yang juga telah membeli insurans dengan mengakui
ketrampilan kepimpinan Mahathir.
Kedua, Najib dikaitkan dengan siasatan di Singapura, di Luxumbourg,
di Hong Kong di Perancsis , di Switzerland dan di Amerika. Di Peranchis
ada kes rasuah Scorpene. Di lain negara kes 1MDB.
Hakikatnya Najib tidak – diulangi sekali lagi, tidak – Najib tidak akan
dapat melarikan diri dari kes 1MDB. Hanya menunggu masa bila kes ini
akan meledak terbarai. Di Amerika kes 1MDB telah bertukar dari kes sivil
menjadi kes jenayah.
Yang menyelamatkan Najib dari ditangkap dan didakwa pada hari ini
dikatakan kerana Najib ini masih lagi perdana menteri Malaysia. Ketua
polis adalah lantikan Najib. Peguam negara adalah lantikan Najib.
Pengarah SPRM adalah lantikan Najib.
Maka cuba bayangkan apa dalam otak Najib dan Rosmah. Apa yang sedang
mereka fikirkan sekarang apabila melihat ribuan warga Felda datang
mendengar ceramah Mahathir? Apa dalam benak Najib apabila melihat
bendera merah BERSATU memagari kampung-kampung di seluruh Kedah?
Apa yang sedang difikirkan oleh Najib apabila setiap pagi laporan SB
masuk menyatakan semakin ramai pegawai kerajaan belot? Semakin ramai
cikgu dan cikgi merasa tidak puas hati dengan kerajaan. Mereka akan
mengundi Pakatan Harapan.
Laporan risikan ini menghuruharakan fikrah Najib. Tetapi apakah
huru-hara akan menjadi jalan selamat untuk Najib dan Rosmah? Tunggu
minggu hadapan.
*HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan