DETIK DAILY
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
SELAKU penerima pelbagai anugerah dari pelbagai negeri dan dari pelbagai
negara, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin merasakan penarikan balik
Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunusi) yang dianugerahkan
oleh Sultan Kelantan pada waktu itu, Sultan Ismail Petra, pada 12 April
2002 tidak mendatangkan impak besar kepada beliau.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa yang menarik balik Darjah Kerabat ini
adalah bukan sebarang Sultan kerana Sultan Muhammad V adalah Yang
di-Pertuan Agong yang, mengikut Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan,
adalah “seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang hendaklah
diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan”.
Selaku Yang di-Pertuan Agong, Baginda mempunyai budi bicara yang luas,
termasuk di dalam urusan perlantikan Perdana Menteri, di mana Perkara 40
(2) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan secara jelas bahawa
“Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada
melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri”.
Benar, ada disebutkan di dalam Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan
Persekutuan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai
Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri “seorang ahli Dewan
Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli
Dewan Rakyat itu”, tetapi di sinilah budi bicara ini timbul.
Di dalam konteks inilah maka pengumuman Ketua Setiausaha Pakatan
Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, di dalam Konvensyen Pakatan Harapan
pada 7 Januari lalu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PPBM
akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya PH memenangi Pilihan
Raya Umum ke-14 perlu dilihat.
Adalah diyakini bahawa penarikan balik Darjah Kerabat kepada Tun Dr
Mahathir Mohamad ini bukan berpunca dari orang politik dan tidak
dipengaruhi oleh pertimbangan politik kerana ia adalah kuasa prerogatif
yang tidak didorong oleh mana-mana pihak lain selaras dengan peruntukan
Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Peruntukan ini menyebut bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan
bolehlah menarik balik mana-mana pangkat atau gelaran atau pingat-pingat
kehormatan yang telah dikurniakan kepada mana-mana penerimanya jika
pada pertimbangan Baginda ada cukup kesalahan atau dosa yang telah
dilakukan oleh penerimanya yang mengharuskan diperbuat demikian.
Sewaktu mula-mula menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan
Muhammad V mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan yang berbunyi
“Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya
memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas
pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri”.
Sudah tentulah tindakan Baginda menarik balik Darjah Kerabat kepada Tun
Dr Mahathir Mohamad berpunca daripada pertimbangan Baginda bahawa ada
cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir
Mohamad yang bertepatan pula dengan sumpah Baginda untuk memeliharakan
Agama Islam dan memerintah secara adil dan aman.
Serentak dengan itu, pertanyaan yang cukup relevan sekarang ialah apakah
masih viable dan feasible lagi hasrat PH untuk menobatkan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam keadaan pihak yang
mempunyai budi bicara ke atas perlantikan ini telah memutuskan bahawa
beliau “ada cukup kesalahan atau dosa”?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan