Isnin, 12 Februari 2018

PPBM beri SPRM 48 jam dedah individu sogok ahli keluar parti



haniff-khatri-sprm

KUALA LUMPUR: PPBM memberi tempoh 48 jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendedahkan individu yang didakwa ditahan kerana cuba menyogok pemimpin serta ahli PPBM meninggalkan parti itu.

Peguam PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sejak tangkapan itu didedahkan 5 Februari lalu, SPRM belum membuat kenyataan berhubung perkara berkenaan.

“Setakat hari ini, pihak SPRM belum memberi pengesahan kepada orang ramai terdapat satu tangkapan pada 5 Februari. Perkara ini belum disahkan dan ia tidak sihat dari sudut melawan gejala rasuah.

“Kami memberi tempoh 48 jam dari sekarang sebelum berakhir Selasa untuk SPRM mengesahkan tangkapan, siasatan dan tindakan lanjut terhadap suspek.”

Beliau berkata demikian kepada FMT selepas hadir bersama Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan untuk memberi keterangan hampir sejam bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau mendakwa sehingga kini, 3 pemimpin dan ahli PPBM disogok individu terbabit.

“Kami tahu siapa suspek, jumlah yang ditawarkan suspek kepada ahli PPBM, tapi kalau kami dedahkan nanti, kami ditohmah pula kononnya mengganggu siasatan, sedangkan siasatan sudah seminggu.

“Sekiranya tiada maklumat didedahkan sebelum Selasa, kami akan dedahkan perkara ini sebab maklumat ini adalah dalam pengetahuan kami dulu…kami akan ambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap SPRM.”

Haniff berkata, SPRM perlu memberi jawapan segera bagi mengetahui jika ada pihak luar yang cuba menjejaskan kestabilan dan nama baik PPBM.

“Saya juga sarankan pihak atasan SPRM mengambil serius dalam memberi jawapan segera, sama ada tindakan akan diambil kepada suspek atau tidak.

“Siasatan berhubung tangkapan amat penting kerana menjurus ada atau tidak anasir jahat dari luar yang cuba mengganggu gugat kestabilan PPBM, mahupun nama baik pucuk pimpinan.”

Pada 5 Februari lalu, Ketua Wanita PPBM, Rina Mohd Harun mendakwa ada pihak menawarkan imbuhan kepada seorang ahlinya untuk mengadakan sidang media memburukkan parti itu.

Katanya, ahli itu bagaimanapun menolak tawaran berkenaan dan menyerahkan bukti kepada pihaknya.

Beliau mendakwa pihaknya kemudian membuat laporan bersama bukti kepada SPRM dan dimaklumkan suruhanjaya itu sudah menahan suspek terbabit.

Keesokannya, Tun Dr Mahathir Mohamad turut memaklumkan individu yang ditahan itu ialah seorang bekas pemimpin PPBM.

“Untuk maklumat, SPRM telah menahan seorang bekas pemimpin PPBM kerana didakwa memberi rasuah kepada pemimpin PPBM peringkat negeri, untuk maklumat lanjut saya rasa elok tanya SPRM,” katanya pada 6 Februari lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi FMT pada hari sama berkata, beliau akan menyemak jika ada kes sedemikian.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: