Sabtu, 3 Februari 2018

NGO transgender bantah akademi kaji LGBT langgar hak asasi

 
Pengasas bersama Justice for Sisters menentang pendekatan menyantuni golongan LGBT menggunakan agama kerana mendakwa ia bertujuan menghukum mereka.


nisha-ayub


PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan hak dan kebajikan transgender membantah penubuhan akademi khusus untuk mengkaji golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di bawah salah satu institut di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Pengasas bersama Justice for Sisters, Nisha Ayub berkata, kajian yang akan dijalankan akademi khas di bawah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad) itu melanggar hak asasi LGBT.

Beliau juga menentang “corrective approach” atau pendekatan menyantuni mereka melalui agama untuk memulihkan golongan itu kerana mendakwa ia bertujuan menghukum LGBT.

“Sebab kalau ikutkan secara saintifik ramai pakar perubatan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan hak asasi manusia menyatakan ‘corrective approach’ bukannya membantu, tapi akan mengakibatkan kemurungan dan lebih masalah kepada golongan LGBT.

“Kalau kita tengok mana-mana negara, mereka gunakan bab agama mereka pasti satu, ingin menghukum, kedua, mereka ingin mengubah dan perkataan ‘balik ke pangkal jalan’ itu sendiri menunjukkan persepsi mereka dah ada.

“Sepatutnya bila anda buat kajian, anda patut tahu apa sebenarnya komuniti (LGBT) ini, apa isu mereka, apa sebenarnya perbezaan komuniti LGBT ini,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, FMT melaporkan Usim di Nilai menubuhkan akademi khusus di bawah Infad untuk mengkaji LGBT sejak pertengahan bulan lalu, selepas mengambil kira apa yang didakwanya peningkatan golongan itu.

Akademi itu yang menerima peruntukan daripada pihak universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi, akan diketuai Dr Rafidah Hanim Mokhtar, yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Usim.

Pengarah Infad, Dr Irwan Mohd Subri dilaporkan berkata, pihaknya hanya mahu “menyantuni” golongan LGBT, bukannya menakut-nakutkan mereka.

Katanya, matlamat akademi itu ialah mencari penyelesaian untuk menangani LGBT dan kaitan mereka dengan HIV serta AIDS.

Nisha menyifatkan dana diberikan kepada akademi itu pembaziran.

“Kenapa nak bazirkan duit untuk perkara yang bukannya membantu, tapi sebenarnya akan lebih menyusahkan golongan LGBT ini dan memberikan persepsi negatif.”

Beliau berkata, pihaknya sedia membantu akademi itu yang sasarannya bukan NGO seperti mereka.

“Selalunya Nisha perasan mereka akan menjemput golongan tertentu sahaja,” katanya merujuk Persatuan Insaf Pahang yang terbabit dalam kajian itu ialah komuniti mak nyah sudah berubah.

Irwan dilaporkan berkata, lebih 100 orang daripada golongan LGBT di bawah Persatuan Insaf Pahang turut terlibat dengan kajian itu

Tiada ulasan: