Sabtu, 3 Februari 2018

Ku Li: Memalukan penjawat awam tak tahu tulis surat ringkas



tengku-razaleigh

SHAH ALAM: Bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa semakin merosot sehingga rakyat tidak lagi diambil bekerja untuk pencapaian akademik dan penguasaan bahasa mereka.

Berkongsi pemerhatiannya, ahli veteran Umno yang lebih dikenali sebagai Ku Li terkejut apabila mendapati sesetengah kakitangan kerajaan hari ini tidak mampu menulis dalam bahasa Inggeris yang betul.

“Ramai orang kita, walaupun dalam perkhidmatan awam, tidak boleh menulis surat ringkas. Saya sangat malu. Saya hanya boleh katakan pendidikan yang menyebabkan kita ketinggalan. Siapa yang menderita? Seluruh negara,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FMT, untuk menjawab soalan mengenai pendidikan.

Kerabat diraja Kelantan itu, yang juga ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia dengan mewakili Gua Musang sejak 1969, berkata dahulu, rakyat Malaysia terkenal dengan kemahiran berbahasa Inggeris dan orang yang bertanggungjawab mendraf kenyataan penting dalam persidangan antarabangsa.

“Saya sertai banyak persidangan antarabangsa,” kata pengerusi pertama syarikat minyak negara Petronas, sambil menceritakan satu lagi pengalamannya.

“Sebelum ini, ketika kita semua boleh berbahasa Inggeris, walaupun tidak begitu bagus, mereka selalu memanggil kami, bukan orang Indonesia, juga bukan orang Filipina yang berbahasa Inggeris sepanjang masa.

“Mereka lebih suka kita draf kenyataan akhbar, atau sertai kokus dan persidangan kecil. Rakyat Malaysia sentiasa terpilih.

“Tetapi sekarang tiada siapa yang mahu kita, kerana kita tidak boleh menulis, dan kita tidak boleh baca apa yang ditulis!” kata ahli politik yang lantang itu, di mana 3 dekad lalu beliau kalah tipis kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi pemilihan Umno paling sengit dan memecahbelah dalam sejarah parti itu.

Ku Li berkata, banyak negara jiran lebih baik daripada Malaysia yang kini ketinggalan.

“Itu memberi gambaran sangat teruk terhadap kita kerana kekurangan pendidikan. Kita tidak dapat mengejar mereka.”

‘Kerajaan silap dalam ekonomi’

Ku Li turut kecewa dengan daya saing ekonomi negara dan menyangkal dakwaan kerajaan mengenai asas ekonomi kukuh.

“Produktiviti kita merosot. Kerajaan kata produktiviti kita meningkat. Tak mungkin.”

Beliau berkata, kuasa beli yang lemah berbanding sedekad lalu cukup menunjukkan “sesuatu tidak kena”.

“Jika RM1 tidak dapat membeli jumlah barang sama seperti kita boleh 5 atau 10 tahun lalu, maka ada sesuatu yang tidak kena. Anda hanya boleh anggap ia disebabkan kejatuhan produktiviti,” kata Ku Li yang merupakan menteri kewangan di bawah pemerintahan Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir.

Ku Li dibawa masuk ke dalam kerajaan Tun Abdul Razak Hussein, bapa perdana menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Tanggungjawab utamanya ialah mengurangkan jurang kekayaan orang Melayu dan kaum lain, matlamat penting kerajaan Razak selepas rusuhan kaum pada 1969.

Ku Li kini mengenang kembali dengan rasa kecewa terhadap peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, peranan yang pernah dimainkan beliau ketika mengetuai Petronas.

“Apa yang dilakukan GLC ini! Saya sendiri tertanya-tanya,” katanya.

Petikan daripada wawancara: Ku Li mengenai pendidikan

FMT: Anda bercakap mengenai kepentingan pendidikan. Tetapi ada banyak halangan dalam laluan kita. Apa yang boleh dilakukan untuk mengubahnya kerana ia membawa kepada daya saing bagi mengembalikan negara ke landasan betul.

Ku Li: Kita ketinggalan di belakang beberapa negara yang berprestasi baik, tetapi kini mereka melonjak ke depan. Itu memberi gambaran sangat teruk terhadap kita kerana kekurangan pendidikan. Kita tidak dapat mengejar mereka.

Ramai orang kita, walaupun dalam perkhidmatan awam, tidak boleh menulis surat ringkas. Saya sangat malu. Saya hanya boleh katakan pendidikan yang menyebabkan kita ketinggalan. Siapa yang menderita? Seluruh negara.

Saya sertai banyak persidangan antarabangsa. Sebelum ini, ketika kita semua boleh berbahasa Inggeris, walaupun tidak begitu bagus, mereka selalu memanggil kami, bukan orang Indonesia, juga bukan orang Filipina yang berbahasa Inggeris sepanjang masa.

Mereka lebih suka kita draf kenyataan akhbar, atau sertai kokus dan persidangan kecil. Rakyat Malaysia sentiasa terpilih. Tetapi sekarang tiada siapa yang mahu kita, kerana kita tidak boleh menulis, dan kita tidak boleh baca apa yang ditulis!

Ku Li mengenai ekonomi

FMT: Tun Razak bawa anda sertai kerajaan. Anda seorang teknokrat, menteri kewangan muda. Kemudian, ada langkah untuk membina ekonomi dan memastikan orang Melayu mempunyai bahagian saksama daripada ekonomi. Kini anda melihat GLC, dan anda tanya diri, adakah kita melakukan perkara betul sejak 25 tahun lalu?

Ku Li: Apa yang dilakukan GLC ini! Saya sendiri tertanya-tanya.

FMT: Kembali kepada anda, orang yang dipilih Tun Razak untuk melakukannya, adakah mengenang kembali dan tertanya, sudahkah kita mengecapi kejayaan ekonomi?

Ku Li: Jawapannya tidak. Orang ramai sekarang merungut. Mereka tidak dapat memenuhi keperluan mereka. Ringgit kita jatuh, nilai ringgit dalam sistem pasaran kita juga jatuh. Sebab itu kita tidak dapat membeli apa yang kita beli sebelum ini, kerana inflasi, ia telah mengurangkan kuasa membeli.

Produktiviti kita merosot. Kerajaan kata produktiviti kita meningkat. Tak mungkin. Jika RM1 tidak dapat membeli jumlah barang sama seperti kita boleh 5 atau 10 tahun lalu, maka ada sesuatu yang tidak kena. Anda hanya boleh anggap ia disebabkan kejatuhan produktiviti.

Tiada ulasan: