Khamis, 8 Februari 2018

Minum Milo secara sederhana, nasihat doktor

 
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia berkata meminum minuman coklat terkenal itu tiada beza dengan minuman ringan dengan kandungan gula tinggi.


minum-milo-banyak

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata sepatutnya tiada beza dalam cara seseorang melihat pengambilan Milo berbanding minuman dan snek lain yang juga dikatakan mempunyai kandungan gula berlebihan.

Mengulas kontroversi berkenaan Milo dan kandungan gila dalam setiap hidangan minuman itu, Presiden MMA Dr Ravindran R Naidu menasihati orang ramai meminumnya dalam kadar sederhana.
“Semua perkara jika diambil secara sederhana tidak membawa masalah. Mengambil gula secara berlebihan, dari mana-mana sumber sekali pun adalah berbahaya.

“Bukan setakat Milo, tetapi minuman ringan, kek, dan makanan atau snek lain perlu diambil dalam kuantiti kecil,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, dakwaan kandungan gula berlebihan dalam Milo tular dalam satu video oleh seorang usahawan, Vishen Lakhiani, yang berkata bungkusan Milo dengan jelas menyatakan 40g dalam hidangan 100g minuman itu terdiri daripada gula.

Video itu dibuat susulan artikel akhbar New York Times yang mengkaji peranan antara syarikat pemprosesan makanan multinasional, seperti Nestlé, bersama pakar nutrisi Malaysia yang terkenal dalam mempengaruhi dasar.

Bagaimanapun, Nestlé menyangkal dakwaan Milo “terlalu manis”, mengatakan jika pengguna mengambil minuman itu mengikut cadangan hidangan, kandungan gula hanya sekitar 6%.

“Satu hidangan hanya mengandungi 6% gula. Daripada 6% ini, 3% adalah gula semula jadi (daripada susu dan malt) dan 3% adalah gula tambahan,” kata Pakar Nutrisi Kanan Nestlé (Malaysia) Berhad Nurul Iliani Ahmad dalam kenyataan.

Nurul berkata kandungan gula 40% yang ditunjukkan pada label merujuk kepada serbuk Milo sebelum Milo dibancuh. Apabila dibancuh dengan 200ml air, Nurul berkata kandungan gula hanyalah 6% dalam minuman itu.

Fomca gesa Nestlé ajar cara minum milo

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa Nestlé memberi garis panduan yang jelas bagaimana pengambilan minuman Milo.

Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ia tidak cukup dengan hanya label sahaja tanpa mendedahkan cara membancuh minuman itu dengan cara yang betul.

“Nestlé harus memberikan arahan yang jelas kepada pengguna. Mereka tidak perlu terlalu terperinci tetapi sekurang-kurangnya cukup untuk memberi amaran kepada ibu bapa.

“Milo dipasarkan untuk kanak-kanak, dan kanak-kanak biasanya tidak tahu apa yang mereka minum.

“Sesetengah kanak-kanak meminumnya dengan air, ada yang suka buat Milo tabur dan ada juga yang makan begitu sahaja maksudnya secara mentah-mentah dari paket.

“Jika dia makan mentah begitu, maka 40% daripada kandungan gula itu akan terus masuk dalam tubuh mereka.

“Sesetengah orang akan menambah susu dan ini boleh menggandakan kandungan gula,” kata Yusof sambil menambah kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti obesiti dan diabetes.

Manakala Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) SM Mohamed Idris pula menggesa Kementerian Kesihatan mengambil tindakan tegas terhadap minuman Milo kerana ia mengandungi gula dan ia mensasarkan kanak-kanak.

“Kami pernah memberikan pandangan mengenai perkara ini sejak dahulu lagi.

“Milo digunakan untuk mempromosikan banyak aktiviti sekolah dengan menggunakan slogan anda sihat dan kuat dengan memberikan tenaga yang diperlukan kanak-kanak sepanjang hari apabila mereka minum segelas Milo.

“Dan semua iklan mengatakan anda akan menjadi sihat – dakwaan itu perlu dikeluarkan,” katanya.

Tiada ulasan: