Sabtu, 10 Februari 2018

Masalah gaji rendah dan pengaliran keluar tenaga kerja perlu diselesaikan



Masalah gaji rendah dan pengaliran keluar tenaga kerja perlu diselesaikan



Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata masalah gaji rendah di negara ini menyebabkan sejumlah besar kalangan tenaga kerja Malaysia berhijrah negara asing seperti Singapura, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Golongan ini terpaksa merantau jauh kerana Malaysia tidak menawarkan rezeki yang dihasratkan.

Gaji yang terlalu rendah menjadi satu faktor penolak untuk golongan cendiakawan dan yang terlatih untuk bekerja di negara kita, kata beliau dalam kenyataan medianya kelmarin.

Justeru ketanya, mereka memilih negara yang sanggup menawarkan gaji yang tinggi berdasarkan tahap pendidikan dan kemampuan bekerja.

“Sampai bilakah negara kita akan kehilangan tenaga kerja? Mampukah negara kita menarik balik tenaga kerja anak watan di perantauan?

“Jawapannya adalah mudah. Jika kita boleh menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi serta kemudah-kemudahan yang lain, sudah pasti pekerja-pekerja kita di luar akan kembali ke pangkuan Malaysia.

“Kita juga boleh menghalang ‘brain drain’ yang mendadak,” kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Perak itu.

Tetapi masalahnya tambah beliau, tidak ada usaha yang serius dan konkrit untuk menangani masalah ini. Gaji di Malaysia adalah terlalu rendah.

“Hampir 50% pekerja Malaysia mendapat gaji kurang daripada RM2000 sebulan.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, golongan ini terpaksa hidup dalam keperitan ekonomi. Akibatnya, suami isteri terpaksa bekerja untuk menampung kos hidup yang melambung.

“Ramai juga yang terpaksa bekerja lebih masa atau membuat 2 kerja untuk mencari pendapatan yang secukupnya,” katanya.

Kualiti hidup rosak. Melahirkan generasi materialistik. Akhirnya budaya kerja yang tidak sihat akan menganggu keseluruhan institusi sosial di negara kita, katanya lagi.

“Saya tidak yakin masalah ini boleh diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menjadi punca ketidakseimbangan ini.

“Kita perlu berani untuk berubah. Kerajaan baru yang mampu menyelesaikan masalah rakyat perlu diberi peluang untuk mentadbir negara ini.

“Kerajaan baru yang boleh mengurangkan kos sara hidup dan menambahkan pendapatan seisi rumah perlu diangkat dalam PRU14 nanti,” sambungnya.

Justeru kata Sivakumar, PH haruslah menjadi pilihan seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 dan M40 yang benar-benar memerlukan keprihatinan kerajaan.

Tiada ulasan: