Jumaat, 9 Februari 2018

Masalah besar jika jurang peruntukan kerusi terlalu ketara - Hasnul

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai masalah sekiranya wujud dominasi kerusi dalam parti itu, namun tidak sepatutnya jurang perbezaan agihan kerusi itu terlalu ketara. 
 
Seorang wakil rakyat Amanah Selangor, Hasnul Baharuddin berkata, partinya bersikap realistik bersabit soal agihan kerusi di negeri itu, namun menegaskan tidak mahu sesebuah parti bersikap terlebih dominan.  
 
"Memang akan ada yang 'lead', itu tak akan jadi isu. Tapi janganlah terlalu lebih beza sehingga sepuluh kerusi, itu tak adillah," katanya kepada Antarapos.
 
ADUN Morib itu juga menambah, kesemua empat parti dalam PH mempunyai kemampuan yang seimbang sungguhpun Amanah dan PPBM secara realitinya merupakan parti baru.
 
"Walaupun PPBM baru setahun, Amanah baru dua tahun... walaupun logo Amanah orang baru kenal. Tapi dulu PKR pun parti baru juga, namun lama-kelamaan orang kenal, jadi itu tiada isu soal itu," katanya bekas wakil rakyat PAS itu lagi.
 
Isu agihan kerusi DUN sesama parti komponen PH di Selangor masih belum selesai sungguhpun sudah dua kali melepasi tarikh akhir yang ditetapkan.
 
Menurut laporan sebuah portal, mesyuarat jawatankuasa agihan kerusi yang dipengerusikan Setiausaha PH Selangor, Zuraida Kamaruddin semalam berlangsung dalam suasana yang tegang ekoran PPBM dan Amanah tidak berpuas hati apabila PKR diperuntukkan 19 kerusi DUN. 
 
Portal itu yang memetik sumber juga melaporkan, berdasarkan keputusan awal, PKR dikatakan akan bertanding 19 kerusi DUN, DAP (18), PPBM (10), dan Amanah (9).
 
Menurut sumber itu, PPBM dan Amanah masing-masing mahu bertanding 12 kerusi disandang Barisan Nasional (BN) serta 13 kerusi milik PAS. 
 
Ketika ditanya mengenai jumlah kerusi yang ingin ditandingi Amanah Selangor, Hasnul bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana menurutnya perkara itu masih dalam proses rundingan.
 
Dalam pada itu beliau yakin isu agihan kerusi itu akan dapat diselesaikan dalam jangka masa seminggu lagi.
 
Bagaimanapun jika perkara itu masih gagal disepakati di peringkat negeri, menurut Hasnul, ia akan dibawa ke peringkat Majlis Presiden.
 
"Tengoklah setakat mana keempat-empat parti boleh bertolak ansur terhadap permintaan parti lain. Kami di pihak Amanah memang realistik dan seimbang," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: