PETALING JAYA: Lelaki homoseksual suka berbaju ketat, menyimpan janggut dan bermisai dan mata akan membulat apabila melihat lelaki kacak, begitu kata infografik yang disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini.
Infografik “Apakah ciri-ciri LGBT” itu membantu pembaca mereka mengetahui ciri-ciri seorang “gay” dan “lesbian”.
Menurut paparan Sinar Harian itu, lelaki homoseksual juga suka mengunjungi gymnasium.
“Bukan untuk bersenam tetapi lebih kepada melihat orang,” kata akhbar berbahasa Melayu popular itu.
“Bagi gay yang berperanan sebagai perempuan pula, mereka suka melihat lelaki kacak, biasanya matanya membulat apabila melihat lelaki kacak.”
Di samping itu lelaki homoseksual juga gemar mengambil adik angkat dan pakaian berjenama, di samping berbaju ketat untuk menunjukkan perut yang berotot.
Infografik ini disiarkan bersama laporan yang menemubual seorang pendakwah, Hanafiah Abd Malek yang berkata LGBT semakin ketara hari ini.
Menurut infografik itu lagi, perempuan homoseksual pula suka menyendiri, berjalan berpelukan dan berpegangan tangan.
“Lesbian pula membenci lelaki dan suka memburukkan lelaki. Kuat cemburu.”
Dalam laporan itu, Hanafiah turut ditanya tentang golongan yang mempunyai 2 alat kelamin, atau khunsa.
Hanafiah berkongsi kes di zaman seorang sahabat Nabi Muhammad, apabila seorang wanita meniduri seorang pembantu dan pembantu itu mengandung, menyebabkan orang ramai musykil.
“Sahabat itu mencadangkan untuk mengira tulang rusuknya, jika kurang satu bermakna dia khunsa lelaki.
“Jadi, untuk menentukan khunsa adalah dengan mengira tulang rusuknya,” kata pendakwah itu.
Dalam laporan terdahulu, FMT mengesahkan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai menubuhkan satu akademi khusus untuk mengkaji golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Akademi itu diketuai pensyarah Fakulti Perubatan dan Kesihatan, Dr Rafidah Hanim Mokhtar, dan menerima peruntukan daripada Usim di samping Kementerian Pengajian Tinggi.
Pengarah Infad, Dr Irwan Mohd Subri berkata akademi kajian LGBT itu ditubuhkan pertengahan Januari lalu, selepas mengambil kira apa yang didakwanya peningkatan golongan itu.
“Golongan ini dari hari ke hari dia makin bertambah, makin kuat, makin mendapat sokongan malahan dalam kalangan masyarakat pun dah boleh terima,” kata Irwan.
Menurutnya, antara tujuan akademi itu ialah mencari penyelesaian menangani LGBT.
“Mereka bukan golongan musuh atau golongan yang kita perlu jauhi, bahkan kita mengambil pendekatan nak dekati mereka, nak santuni mereka,” katanya.
Usim tubuh akademi khusus kaji LGBT untuk ‘beri kesedaran’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan