Khamis, 8 Februari 2018

Isu bin Abdullah: JPN boleh berpandukan fatwa, kata peguam

 
Peguam mewakili JPN berkata tiada istilah anak luar nikah bawah akta walaupun undang-undang itu diguna pakai ke atas orang Islam dan bukan Islam.


jpn-child2

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak wajar mengikut fatwa Johor untuk enggan memberikan anak tidak sah taraf beragama Islam membawa nama bapa kandung, Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan berkata tiada istilah anak tidak sah taraf bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) walaupun undang-undang itu diguna pakai ke atas orang Islam dan bukan Islam.

“Dalam keadaan sebegini, JPN boleh bergantung kepada fatwa mengatakan anak tidak sah taraf beragama Islam dilarang membawa nama bapa kandungnya,” katanya.

Suzana berkata tiada pertikaian terhadap taraf tidak sah anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam.

“Wajar bagi JPN mengikut fatwa dalam undang-undang Islam bagi mencapai objektif BDRA,”
katanya dalam hujah di depan panel 5 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif.

Suzana mewakili JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan, yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas yang mempertahankan bahawa fatwa tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang dan tidak boleh membentuk asas undang-undang bagi JPN memutuskan nama bapa seorang anak tidak sah taraf beragama Islam.

Dalam kes ini, anak tersebut dilahirkan kurang 6 bulan selepas ibu bapa berkahwin dan dianggap tidak sah taraf mengikut undang-undang syariah.

Kelahiran anak tersebut didaftarkan 2 tahun berikutnya pada 2011 bawah Seksyen 12 BDRA.

Kedua-dua ibu bapa dari Johor itu memohon JPN mendaftarkan nama bapa kandung pada sijil kelahiran bawah Seksyen 13 BDRA tetapi hanya menyatakan “bin Abdullah.”

JPN enggan menggantikannya dengan nama sebenar bapa dengan alasan anak itu tidak sah taraf, walaupun permohonan menggantikan “bin Abdullah” sudah dikemukakan.

Susulan itu, ibu bapa tersebut memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 2016. Identiti kedua ibu bapa tersebut dirahsiakan.

Suzana berkata Seksyen 111 Enakmen Keluarga Islam Johor 2003 diguna pakai ke atas orang Islam, menjadikan pasangan itu dan anak mereka terikat dengan fatwa tersebut.

Peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam Negeri Johor, berkata Mahkamah Rayuan mengabaikan rukun Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebaliknya mmebuat keputusan berdasarkan emosi.

“Mahkamah Rayuan gagal memahami keadaan. Mahkamah sivil tidak patut terlibat dalam hal ehwal Islam yang sepatutnya bawah bidang Mahkamah Syariah,” katanya.

Katanya, JPN bertindak dengan betul kerana mengikut fatwa dikeluarkan pihak berkuasa Islam Johor.
“Fatwa ini mungkin belum diwartakan tetapi ia mempunyai kuat kuasa undang-undang asalkan tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya.

Sulaiman berkata umum ketahui Perlis tidak mengikuti fatwa itu walaupun negeri itu mengamalkan mazhab Syafie.

Memandangkan Islam adalah hal ehwal negeri, Perlis tidak mengikuti fatwa tersebut sejak 2011.

Menurut fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2003, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapanya atau orang yang mengaku bapa kepada anak itu.

Peguam K Shanmuga, mewakili ibu bapa dan anak itu, berhujah, keputusan Mahkamah Rayuan patut dipertahankan kerana ia mengambil kira maruah dan kepentingan anak bawah umur itu.

“Perundangan itu jelas memaksudkan Seksyen 13A BDRA diguna pakai ke atas orang Islam dan juga bukan Islam,” katanya.

Shanmuga berkata JPN harus mengguna pakai BDRA iaitu undang-undang persekutuan yang sangat jelas.

“Sebarang perubahan adalah tanggungjawab Parlimen untuk meminda undang-undang itu,” he added.

Peguam Azahar Azizan Harun yang mewakili 20 pasangan ibu bapa dan seorang ibu tunggal kepada anak tidak sah taraf, berkata sesetengah anak guamnya memperoleh kelulusan daripada Mahkamah Syariah di Perlis untuk menggunakan nama bapa kandung tetapi JPN tetap enggan memulihkan perkara itu.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun masih menangguhkan penghakiman.

Tiada ulasan: