Ahad, 11 Februari 2018

DAP tanya apa langkah Putrajaya atasi kenaikan kos sara hidup



DAP tanya apa langkah Putrajaya atasi kenaikan kos sara hidup
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas untuk mengatasi "masalah besar" ini kerana rakyat terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
DAP hari ini bertanya kepada kerajaan Persekutuan mengenai rancangan menangani kos sara hidup di negara ini kerana pertumbuhan ekonomi tidak dinikmati oleh rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas untuk mengatasi "masalah besar" ini kerana rakyat terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barangan.

"Apa yang mereka (kerajaan Perselutuan) buat untuk hentikannya? Kerajaan mesti jawab.

"Ada bukti menunjukkan rakyat tidak dapat menikmati pertumbuhan ekonomi," katanya Lim pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang merujuk kepada artikel baru-baru ini yang memetik Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin sebagai berkata bahawa pertumbuhan KDNK (keluaran dalam negara kasar) Malaysia tidak dirasai oleh rakyat.

Dalam temubual bersama stesen radio BFM baru-baru ini, Ameer berkata pengguna tidak mempunyai cukup duit untuk dibelanjakan dan ini ditunjukkan melalui penjualan Mydin yang merosot.

Beliau berkata pertumbuhan didorong oleh penggunaan domestik tetapi pasar raya dan pasar raya besar yang menguasai separuh dari pasaran di Malaysia menyaksikan pertumbuhan negatif.

Ameer juga menyebut kenaikan harga barangan yang tinggi dalam lima tahun kebelakangan ini seperti kubis (29%), ikan kembung hitam (19%), sos cili jenama Maggi (38.8%) dan sardin jenama Ayam (30.6%).

"Dan anda boleh katakan 6% mungkin disebabkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)," Ameer dipetik sebagai berkata.

Lim yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata pembangkang mempunyai cara bagi menangani masalah ini.

"Kami telah kata akan hapuskan GST dan kekalkan pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia).
"Kami ada pendekatannya," kata Lim.

Lim juga ditanya mengenai pendapatnya mengenai seruan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri Yaakob supaya masyarakat Cina mengembalikan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN).

Kata beliau, menteri itu sebelum ini menyalahkan perniagaan Cina tempatan dan menuduh mereka terhadap pencatutan.

Pada 2015, Ismail menyiarkan komen di Facebook, memberitahu pengguna Melayu supaya memboikot perniaagaan orang Cina yang menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya dan cara itu dapat menurunkan harga barangan di negara ini.

"Dulu, menteri yang sama salahkan perniagaan orang Cina dengan tuduhan tak berasas. Sekarang dia minta undi orang Cina?

"BN tak boleh mainkan isu kaum lagi. Awak tak boeh salahkan orang Cina lagi. Boss Mydin sendiri cakap yang sama mengenai kenaikan harga," kata Lim.

Beliau turut diminta oleh wartawan untuk mengulas berhubung dividen 6.9% yang diisytiharkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk simpanan konvensional tahun ini.

Ia adalah kadar tertinggi yang pernah diumumkan KWSP sejak 1997 iaitu 6.7%.

"Sudah tentu ia menggembirakan rakyat.

"Tapi, sekiranya dividen masih setinggi 6.9% selepas pilihan raya, kita juga gembira. Saya akan 'yamseng' (raikan) dengan awak," jawab Lim.

Tiada ulasan: