Selasa, 13 Februari 2018

Bomba: Percikan daripada kerja selenggara punca bangunan KWSP terbakar

 
Percikan daripada kerja penyelenggaraan itu kemudiannya terkena lapisan dinding (cladding) di luar bangunan dan kebakaran merebak ke tingkat atas disebabkan tiupan angin kencang serta cuaca panas.
 
 
percikan-daripada-kerja-penyelenggaraan-malaysia

PETALING JAYA: Kebakaran di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, tengah hari tadi, berpunca daripada kerja penyelenggaraan di luar bangunan, kata timbalan ketua pengarah operasi Bomba Malaysia.

Datuk Soiman Jahid berkata, percikan daripada kerja penyelenggaraan itu kemudiannya terkena lapisan dinding (cladding) di luar bangunan.

Beliau berkata, ini adalah kebakaran pertama di negara ini membabitkan pemasangan cladding diperbuat daripada “polyfoam” mudah terbakar.

“Ini bukan kebakaran dalam bangunan, bukan isi bangunan, hanya cladding yang dipasang di luar bangunan.

“Berdasarkan siasatan dan kajian awal, kita dapati bangunan ini dipasang cladding yang mudah terbakar, kemungkinan tidak diluluskan mana-mana pihak,” katanya selepas meneliti punca kebakaran di bangunan KWSP hari ini.

percikan-daripada-kerja-penyelenggaraan-gd-1-m

Difahamkan, percikan api itu terhasil daripada kerja kimpalan yang sedang dijalankan di luar bangunan bersebelahan Lebuhraya Persekutuan itu.

Soiman berkata, kontraktor bangunan tidak boleh menggunakan bahan mudah terbakar dan tidak mempunyai sijil serta kelulusan daripada pihak bomba, disebabkan kos bahan itu lebih murah.

“Kita mempunyai ‘uniform building by law’ yang menyatakan setiap struktur bangunan perlu menggunakan bahan daripada kelas 0, iaitu mana-mana bangunan guna bahan mudah terbakar sudah melanggar ‘building by law’.

percikan-daripada-kerja-penyelenggaraan-gd-2-m

“Kita akan membuat pemeriksaan khususnya melibatkan sijil bomba dan bagi bangunan yang menggunakan bahan mudah terbakar untuk pembaharuan sijil bomba, kita tidak akan keluarkan sehingga mereka tukar bahan tidak mudah terbakar.”

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran bermula daripada tingkat 1, di mana kerja penyelenggaraan sedang dilakukan di luar bangunan itu.

Katanya, kebakaran kemudiannya merebak dengan cepat ke tingkat atas disebabkan tiupan angin kencang dan cuaca panas.

“Berlaku sedikit kebakaran di tingkat 6 (yang) turut melibatkan fail-fail tertentu, namun difahamkan ia merupakan fail tidak penting bagi KWSP.”

Katanya, semua 527 kakitangan dan pelanggan KWSP berjaya dikeluarkan daripada bangunan dan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Beliau berkata, 70 anggota dari Petaling Jaya bersama 10 jentera tiba di tempat kejadian 6 minit kemudian, seleps menerima panggilan pada 11.52 pagi dan api dipadamkan dalam 30 minit.

 LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: