Rabu, 7 Februari 2018

Boleh salahguna kuasa jika terlalu lama jadi PM, kata Dr Mahathir

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Seseorang perdana menteri mungkin menyalahgunakan kuasanya jika memegang jawatan itu terlalu lama, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Justeru PH bersetuju menghadkan tempoh jawatan perdana menteri hanya selama dua penggal jika gagasan itu berjaya menubuhkan kerajaan kelak.
 
Dr Mahathir tidak pula mengulas adakah keputusan itu dibuat berdasarkan pengalamannya 22 tahun menjawat jawatan berkenaan.        
 
“Kami akan mengurangkan kepada dua penggal saja. Tidak lebih daripada itu,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
 
Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri sebelum ini  dipersalahkan banyak pihak atas pentadbirannya selama 22 tahun hingga menyebabkan negara mengalami kerugian berbilion ringgit.
 
Mengulas status permohonan pendaftaran PH di bawah satu logo, Dr Mahathir berkata pihaknya masih belum mendapat maklum balas Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
“Sudah tentu kita risau kerana ini adalah hak kita mendaftarkan Pakatan Harapan melainkan kita melakukan sesuatu yang salah. Kalau ia salah, beritahu kita, kita akan ubah.
 
“Misalnya, logo. Awalnya, mereka kata logo kita tidak betul dan kita tanya apa patut kita perbetulkannya, dan kita tukar logo itu mengikut kehendak mereka,” katanya.
 
Dr Mahathir berkata, PH tidak menolak kemungkinan membawa kes tersebut ke mahkamah sekiranya masalah pendaftaran gabungan itu masih gagal diselesaikan.
 
“Ada kemungkinan untuk tindakan perundangan di mahkamah, kerana ini adalah tugas ROS untuk meluluskan pendaftaran, tapi bila tiada maklum balas dan tidak berkata apa-apa mengenai perkara ini, itu bukan sesuatu yang kita harapkan dari agensi kerajaan,” katanya.
 
Untuk rekod, PH memohon kepada RoS untuk didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti-parti politik pada 28 Julai lalu.
 
RoS memaklumkan permohonan PH terbantut selepas dua parti komponennya, PPBM dan DAP melanggar perlembagaan parti masing-masing.
 
PPBM dan DAP sudah mengambil langkah susulan namun belum mendapat respon daripada RoS

Tiada ulasan: