Ahad, 11 Februari 2018

Berita Dr Mahathir ke AS itu palsu, kata Bersatu



Berita Dr Mahathir ke AS itu palsu, kata Bersatu
Pengarah Strategi Bersatu Rais Hussin berkata kenyataan Tunku Aziz itu tidak harus dipandang serius. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
BERSATU hari ini mencemuh penularan 'berita palsu' di kalangan pemimpin Umno melibatkan pengerusi mereka Dr Mahathir Mohamad akan memimpin delegasi pembangkang ke Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Strategi parti itu, Rais Hussin berkata perkata itu merupakan contoh jelas sebuah 'berita palsu' yang cuba mencemar imej Dr Mahathir dan gabungan Pakatan Harapan (PH).

"Kenyataan daripada Tunku Aziz itu tak harus dipandang serius.

"Ia adalah berita palsu yang direka orang tua nyanyuk yang cuba meraih perhatian! Kita tak perlukan Amerika atau orang luar! Kita hanya memerlukan rakyat Malaysia!," kata beliau dalam mesej kepada The Malaysian Insight.

Rais merujuk kepada komen Tunku Aziz, bekas pemimpin DAP yang meninggalkan parti itu pada 2012 di akhbar New Strait Times pada Jumaat yang menyatakan Dr Mahathir akan mengadakan pertemuan dengan pihak luar di AS pada 20 Febuari depan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau turut berasa jelik dengan komen balas yang dibuat Menteri Pertahanan dan Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein yang disiarkan Bernama hari ini.

"Untuk Hishamuddin memberi komen tanpa memeriksa fakta menunjukkan berita palsu ini mendapat sambutannya. Dan ingat, Hishammuddin ialah Menteri Pertananan," kata beliau lagi.

Bernama melaporkan Hishamuddin berkata rancangan Dr Mahathir ke AS itu menyerlahkan sikap hipokrasi bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata ia berbeza semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri yang tindakan seumpama itu merupakan satu kepantangan baginya.

"Saya tengok dulu masa dia menjadi PM (perdana menteri), benda-benda macam itu pantang bagi dirinya… tuduh bahawa pembangkang-pembangkang menjual maruah, menggadaikan kedaulatan dan cuba meraih simpati kuasa-kuasa lain.

"Tetapi sekarang ini lain pulak. Jadi orang dapat lihat hipokrasi beliau sekarang dan Dr Mahathir sanggup lakukan bila matlamat menghalalkan cara. Cakap tak serupa bikin," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Agenda Pembangunan Perumahan Sembrong di Felcra Sungai 10, Paloh, dekat Kluang hari ini.

Tiada ulasan: