Selasa, 19 Disember 2017

Zahid ajak pembangkang sertai himpunan pertahan Baitulmaqdis Jumaat ini

 
Timbalan perdana menteri berkata, jemputan sudah dihantar kepada semua pimpinan pembangkang petang semalam. 


zahid


PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempelawa rakyat berbilang kaum, NGO dan parti politik pembangkang menyertai perhimpunan besar-besaran di Masjid Putra, Jumaat ini, bagi mempertahankan Baitulmaqdis.

Timbalan perdana menteri berkata, perhimpunan itu ialah pentas untuk semua pihak, termasuk parti pembangkang untuk menunjukkan solidariti mereka terhadap isu Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Kita tidak ada hubungan diplomtik dengan Tel Aviv atau Israel, kita menghormati hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), tetapi apabila hak kota suci umat Islam diceroboh dengan hasrat untuk melenyapkan sirah kota suci Islam, Kristian dan agama Yahudi ortodoks asal, ertinya rejim Israel cuba memadamkan sejarah.

“Kita di Malaysia dengan masyarakat berlatar belakangkan komposisi kaum, budaya dan agama berbeza tidak pernah mempromosikan perbezaan, tetapi kemajmukan masyarakat harus dipertahankan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta NGO Islam dan bukan Islam dijadualkan menyertai perhimpunan di Putrajaya itu.

Zahid berkata, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) sudah bersetuju menyertai perhimpunan itu dan 10,000 orang dijangka hadir.

Menteri dalam negeri itu berkata, beliau sudah menghantar jemputan kepada semua pimpinan pembangkang petang semalam.

Semalam, Washington menggunakan kuasa veto untuk menolak draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dibentangkan Mesir bagi membatalkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Presiden AS, Donald Trump.

Seramai 14 ahli Majlis Keselamatan PBB menyokong draf resolusi dalam sesi pengundian, tetapi diveto Duta AS ke PBB, Nikki Haley.

Draf resolusi itu antara lain menekankan status akhir Baitulmaqdis perlu ditentukan melalui rundingan Palestin dan Israel sejajar keperluan resolusi PBB dan semua negara perlu mematuhi 10 resolusi yang diluluskan sejak 1967.

Ia selepas sidang kemuncak tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Turki pada 13 Disember lalu yang sebulat suara mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan mereka menyeru negara lain turut mengiktiraf Palestin.

Tiada ulasan: