Selasa, 19 Disember 2017

PH belum sepakat siapa calon PM jika menang PRU14 - Khalid Samad

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Belum ada kesepakatan antara empat parti di dalam Pakatan Harapan (PH) berkenaan siapakah calon perdana menteri dan timbalannya jika gagasan itu menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata pemukiman PH yang berlangsung baru-baru ini juga tidak membincangkan perkara itu secara langsung berikutan ada pemimpin parti komponen membuat bantahan.
 
"Dalam 'retreat' (pemukiman) ia tak dibincang. Ada yang hendak bincang, namun ada pihak yang tak mahu bincang lagi sebab tak dapat mandat (parti). 
 
"Selepas 'retreat' itu PKR keluarkan kenyataan mereka setuju untuk membincangkannya. Bermakna sudah ada mandat itu. Saya rasa persoalan ini belum lagi dibincangkan secara rasmi dan tidak ada keputusan secara rasmi juga," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa PH akan mengumumkan calon perdana menteri baru pada bulan hadapan, bagi menggantikan nama Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih menjalani hukuman penjara.
 
Guan Eng berkata demikian dalam sidang medianya tanpa kehadiran mana-mana pemimpin PH yang lain, pada Isnin.
 
"Soal apa yang Guan Eng umumkan, saya sendiri tak dengar lagi. Kemungkin ia merujuk DAP. Bermakna mereka ada satu cadangan untuk dibawa.
 
"Mungkin ada silap faham juga. Setakat ini persoalan siapakah PM belum lagi diputuskan. Sekiranya diputuskan nanti pun, sama ada akan diumumkan sebaik sahaja diputuskan, lihat nanti," tambah Khalid.
 
Khalid, dalam pada itu memaklumkan parti komponen PH sudah maklum akan pendirian DAP, namun ia belum dibahaskan dengan lebih mendalam.
 
"Secara umumnya kita tahu pandangan DAP dalam soal ini. Namun memandangkan ia belum dibincang, dibahas, sebagaimana pada 'retreat' hendak dibincang dan dibahas namun ada yang belum bersedia, maka belum jadilah. 
 
"Namun DAP sudah ada pendiriannya. Oleh kerana Anwar tak mungkin boleh menjadi PM sebab masih dipenjara dan mengambil masa selepas 5 tahun untuk terlibat dalam politik, maka persoalan hendak ada pilihan selain Anwar merupakan keperluan," katanya.
 
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga tidak menolak kemungkinan pengumuman calon perdana menteri itu akan dilakukan sewaktu Konvensyen PH, 7 Januari depan.
 
 

Tiada ulasan: