Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Paksi
perubahan yang hendak dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ialah, apa
sahaja yang menjadi penghalang ‘citarasa politiknya’ akan ditentang
habis-habisan. Tidak kira jika yang perlu dimusuhi itu adalah institusi
Raja-raja Melayu.
Ketika beliau masih perdana menteri Malaysia, Mahathir melihat gelagat
Raja-raja Melayu dan keluarga mereka perlu didisplinkan agar tidak
mengancam kepentingan rakyat jelata. Maka diwujudkan sebuah mahkamah
khas untuk menguruskan masalah disiplin mereka.
Kini
beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri tetapi masih melihat bahawa
Raja-rajapun menyebarangi sempadan “politik-raja” mengecam sikap
“biadap” beberapa pemimpin politik termasuk beliau sendiri yang pernah
22 tahun memimpin Malaysia.
Lantas bila tidak berpuashati dengan tuduhan “biadap” dan “murka”
Sultan Selangor terhadapnya, Mahathir dilaporkan bertindak memulangkan
dua Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan yang dikurniakan ke
atasnya pada 1978 dan 2003.
Pertama, Dr Mahathir menerima Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS)
Kelas Pertama pada 22 Jun 1978, yang ketika itu membawa gelaran Datuk.
Pingat ini dikurniakan hanya kepada dua orang pada satu-satu masa dan
kuota maksimum penerimanya ialah 40 orang.
Sejak 1998, pingat itu membawa gelaran Datuk Seri.
Sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003, Dr Mahathir
dianugerahkan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) pada majlis
‘Jasamu Dikenang’ di Istana Shah Alam, Klang.
Anugerah yang hanya dikurniakan kepada maksimum 25 orang pada
satu-satu masa itu diberikan sebagai penghargaan kerajaan negeri
Selangor terhadap sumbangan dan jasa beliau kepada rakyat Selangor
selama jadi Perdana Menteri.
Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis itu bertitah baginda
berbesar hati mengurniakan DK kepada Dr Mahathir, yang dikenalinya
secara peribadi sejak 1970 sebagai rakan akrab almarhum ayahandanya,
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Hubungan jadi keruh
Namun, keadaan keruh selepas ucapan Dr Mahathir pada rapat umum di
Petaling Jaya itu yang didakwa menghina masyarakat Bugis. Video petikan
ucapan itu tular di media sosial dan mendapat bantahan masyarakat Bugis
di Malaysia, termasuk sebahagian di Indonesia.
Antara yang menegur dan kesal dengan kenyataan Dr Mahathir itu
termasuklah Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla, yang berasal dari
Sulawesi Selatan.
Dr Mahathir ketika itu menjelaskan beliau bukannya menghina suku Bugis
tetapi hanya mengata kepada Perdana Menteri Najib Razak yang selalu
berbangga dengan keturunan Bugisnya.
"Ucapan saya dituju kepada Najib yang sering mendakwa dia pahlawan
Bugis. Pahlawan Bugis tidak mencuri," katanya dalam satu tulisan di
blognya pada 26 Oktober lepas.
Bagaimanapun, Dr Mahathir melihat kemelut itu sebagai satu peluang
untuk melunasi impian politiknya menjatuhkan kerajaan Umno-BN. Bagi
beliau lebih banyak kontroversi mengelilingi isu berkenaan, lebih banyak
publisiti yang beliau dapat.
Isu-isu sampingan di sebalik rancangan menjatuhkan kerajaan ini memang
mudah menjentik sensitiviti Melayu-Islam dan bukan Melayu. Kebanyakan
bukan Melayu memandang isu institusi Raja ini sebagai ‘kurang mesra
kepentingan mereka’.
Umumnya,
isu ini secara langsung atau tidak, diibaratkan “duri dalam daging
kepentingan mereka” hingga mewujudkan ‘persaingan tidak seimbang’ dalam
keseluruhan semangat Perlembagaan yang sering dirasakan sebagai ‘memihak
Bumiputera dan Melayu’.
Mahathir sering menggunakan “dacing perkauman” dalam perhitungan
politiknya. Contoh paling nyata ialah apabila pengundi Melayu umumnya
menghukum pertimbangan “kurang Melayunya” terhadap Datuk Seri Anwar
Ibrahim pada 1988, Mahathir turut dihukum.
Pada Pilihanraya Umum 1999 pengundi Melayu mempamerkan “kemarahan
terhadap Mahathir” mengakibatkan Umno-BN hilang kuasa di Terengganu dan
hampir tumpas di Kedah. Namun Mahathir bingkas membalas.
Dr Mahathir “mendedak” bukan Melayu dengan pengenalan PPSMI
(Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Metamatik Dalam Bahasa Inggeris”.
Strategi ini merapatkan pengundi bukan Melayu padanya dan mengikis
kuasa/nilai ekonomi Bahasa Melayu.
Justeru tidak hairanlah Dr Mahathir menyambar isu kemurkaan Sultan
Selangor terhadapnya itu dengan tindakan memulangkan darjah kebesaran
Selangor tanpa dituntut oleh Istana Selangor.
Tindakan pantas Dr Mahathir ini mempamerkan ketegasannya tidak mahu
Sultan mencampuri politik. Sekali lagi ini merapatkan beliau dengan
pengundi bukan Melayu dan “merangsang” aktivis politik Melayu untuk
menyokong pendiriannya itu.
Mesej beliau akan mengukuhkan iltizam sesetengah aktivis politik
Melayu untuk turut bangkit mencabar institusi Di Raja. Salah seorang
daripadanya ialah bekas Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Peluang tentera siber Umno-BN
Dengan mengembangkan fokus penentangan rakyat terhadap institusi di
raja, Dr Mahathir akan menyebarkan persepsi bahawa institusi di raja
adalah paling akrab dengan kerajaan hari ini dan dihasut supaya
“melemahkannya”. Yang untungnya parti-parti pembangkang.
Belum seminggu Umno bersidang dengan rumusan Umno patut memenangi
perang siber, pakatan pembangkang pimpinan Dr Mahathir sudah mendahului
dengan memperbesarkan kemelut sektor politik lawan institusi di raja.
Apa Tan Sri Annuar Musa mahu lakukan?
Bagaimana mahu menyekat tentera siber Umno-BN terjebak dalam agenda
politik Dr Mahathir? Dalam kes ini jelas Mahathir yang ‘menentukan’
agenda perang siber. Isu ini jika tidak tangani dengan tuntas akan
menjarakkan Melayu dengan bukan Melayu.
Mungkin adalah bijaksana jika Umno-BN ambil kesempatan ini untuk
memperjelaskan apa takrif “menghasut” dan “kesetiaan” pada Raja-raja.
Biarlah dilakukan siasatan terperinci berhubung kemelut ini agar ia
boleh menjadi sempadan di antara institusi Diraja dan politik.
Hasil siasatan boleh mempamerkan siapakah dan pihak manakah yang turut
terbabit dalam usaha yang nampaknya agak tersusun untuk “meremehkan”
institusi di raja ini.
Sikap membisu Menteri Besar Selangor, misalnya, yang “kurang
bersemangat” mempertahankan institusi di raja patut diteliti sebagai
satu ‘kelemahan’ atau unsur terbabit memercikkan api “memandang rendah
kedudukan Sultan Selangor”.
Dalam kes ini Dr Mahathir nampaknya yang mendapat publisiti dan
berjaya “menyakat” UMNO-BN untuk menyebarluaskan publisiti untuknya.
Sedangkan jentera UMNO-BN nampaknya terkial-kial untuk memberi respons.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan