Sabtu, 16 Disember 2017

Gali kubur dan batu nisan saja belum kena GST



Gali kubur dan batu nisan saja belum kena GST

Bekas Setiausaha Umno Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin hari ini berkata, barangan dan urusan yang berkaitan agama sepatutnya bebas daripada dikenakan cukai GST.

Zaharin Mohd Yasin

Beliau melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan langsung tidak mempedulikan prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu “Kepercayaan Kepada Tuhan’.

Sepatutnya kata beliau, sebarang urusan dan peralatan agama bebas daripada GST. Kini untuk agama Islam, untuk menunaikan umrah telah dikenakan GST.

“Beli songkok, telekung, sejadah kena GST. Yang belum kena GST gali kubur dan batu nisan,” tulis beliau dalam Facebbok beliau.

Kata beliau, bagi penganut Buddha, rumah tokong mereka termasuk colok yang digunakan dikenakan GST.

“Akhir nanti penganut Hindu bawa kavadi waktu Thaipusam pun kena GST,” tambah beliau.

Beliau mempersoalkan sama ada polisi mengenakan GST dalam urusan agama ini boleh mengurangkan atau menambahkan undi kepada kerajaan.

Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) menguatkuasakan GST bagi pakej Umrah yang bakal akan dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta berkuat kuasa semalam.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Mas Ermieyati Samsudin berkata syarikat swasta tersebut akan mengutip (GST) RM5.10 daripada setiap umat Islam Malaysia yang hendak mengerjakan umrah dengan penguatkuasaan Lesen Khas Umrah (LKU).

Tiada ulasan: