Khamis, 21 Disember 2017

Felda sahkan polis sedang siasat kes jual-beli tanah Jalan Semarak

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
 KUALA LUMPUR: Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengesahkan badan berkanun itu telah membuat laporan polis ekoran wujud elemen penipuan terhadap keempat-empat lot tanah di Jalan Semarak bernilai RM270 juta yang kini dimiliki oleh sebuah syarikat swasta.
 
Malah, pihaknya juga akan mengambil tindakan sivil kepada syarikat swasta berkenaan kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa.
 
“Kita (Felda) telah beri surat kuasa wakil penuh (full power of attorney - PA) kepada syarikat swasta tersebut.
 
“Namun, syarikat itu telah menukar hak milik tanah tersebut kepada syarikatnnya sendiri dan kita tidak menerima satu sen pun daripada penjualan itu,” katanya pada sidang media di Menara Felda hari ini.
 
Selain itu, katanya Felda akan menukar status kaveat persendirian yang didaftarkan pada 14 April lalu kepada kaveat pendaftar untuk mengukuhkan penguasaan pemilikan terhadap tanah itu.
 
Terdahulu media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.
 
Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda dikenali sebagai KLVC Tower1A.
 
Media yang memetik sumber melaporkan, dipercayai pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.
 
Sementara itu, Shahrir melahirkan rasa hairannya bagaimana permindahan tanah milik Felda dilakukan dengan mudah tanpa penyeliaan yang jelas.
 
Malah beliau terkejut apabila terdapat transaksi ‘hantu’ pindah milik berlaku tanpa pembayaran dilakukan.
 
"Saya terpegun, begitu mudah untuk pindah milik tanah dalam institusi seperti Felda.
 
“Tiada rundingan tentang perkara itu (pindah milik). Namun, kami membuat keputusan untuk miliki semula tanah tersebut," kata beliau lagi.
 
 

Tiada ulasan: