Rabu, 13 Disember 2017

Empat mayat rentung dibunuh sebelum rumah dibakar

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BANTING: Empat mayat sekeluarga yang rentung di sebuah rumah di Jalan Tepi laut, Tanjung Sepat, pagi tadi, dipercayai dibunuh sebelum rumah mereka dibakar.
 
Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata siasatan awal mendapati ada kesan tetakan di badan tiga daripada empat mangsa itu.
 
Bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat perkara itu berikutan bedah siasat belum dijalankan.
 
"Siasatan awal bomba mendapati ada unsur khianat dan kita boleh sahkan mangsa kebakaran dibunuh sebelum dibakar.
 
"Kita akan mengambil keterangan ahli keluarga mangsa berhubung kes ini," katanya.
 
Fadzil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
 
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmi Osman berkata, unit forensik kebakaran dan dibantu unit anjing pengesan (K9) masih mengumpul bukti untuk mengenal pasti punca kebakaran.
 
"Pemeriksaan awal mendapati, mayat keempat-empat mangsa ditemui di lokasi berbeza.
 
"Mayat dua warga emas dipercayai datuk dan nenek kepada dua lagi mangsa ditemui di ruang tamu manakala mayat kanak-kanak berusia tiga dan sembilan tahun masing-masing ditemui di bilik tidur berasingan," katanya.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Chia Tee Nang, 73; Lim Mai Shak, 68; dan Chia Yuan Bin, tiga tahun.
 
Mangsa keempat seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun belum dikenal pasti.
 
JBPM Selangor mendapat panggilan kejadian pada jam 6.08 pagi dan 15 anggota dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) digerakkan ke lokasi kejadian.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, berkata seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terselamat dan tidak mengalami kecederaan namun masih trauma atas kejadian yang meragut nyawa ahli keluarganya.
 
"Kanak-kanak berkenaan ditempatkan di Hospital Banting bagi rawatan susulan sebelum kami mengambil keterangan lanjut.
 
"Kita akan membuat pemeriksaan lanjut bagi mengetahui punca kejadian dengan kerjasama pihak bomba," katanya dipetik Bernama.
 
 

Tiada ulasan: