Selasa, 26 September 2017

Tsunami Melayu Kit Siang?

roslansms@gmail.com

 

Tokoh veteran dan pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang baru-baru ini memberikan bayangan suasana politik selepas PRU ke 14 dari perspektif beliau.

Samada ianya suatu bacaan politik yang jujur, tepat dan realisitik atau sekadar satu permainan yang cuba melonjakkan DAP sebagai sebuah parti keramat yang bakal dipeluk dan didokong semua rakyat Melayu, Cina dan India bolehlah diperbahaskan.

Apa pun dalam suasana politik yang tidak menentu dewasa ini, ditambah keadaan ekonomi yang kelam dengan pelbagai skandal, ketempangan dan kepincangan pentadbiran, ternyata seorang pemain politik seumpama Kit Siang pasti bijak memanipulasi keadaan untuk menjuruskan rakyat agar yakin padanya dan akhirnya memberikan laba besar pada beliau dan partinya.

Berjayakah usaha beliau mencorak sentimen rakyat sehingga condong ke arah nafsu dan agenda politiknya atau akhirnya beliau akan kecundang, bersara menggigit jari, hanya rakyat yang dapat menentukan.

Kit Siang dengan penuh yakin melontarkan formula 10 dan 5 yang menurut beliau akan meletakkan Pakatan Harapan menguasai tiga negeri baru iaitu Perak, Negeri Sembilan dan Johor selain mempertahankan kemenangan di Pulau Pinang dan Selangor dengan lebih besar dan selesa.

Formula inilah juga menurut beliau akan meletakkan PH sebagai kerajaan baru Persekutuan, menumbangkan BN apabila PH nanti menang 113 kerusi Parlimen sedangkan BN 109.

Menurut beliau formula ini bukan hanya akan menggagalkan Umno BN di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri berkenaan malah PAS dakwa beliau, melalui formula ini juga akan sekadar mampu meraih 10 peratus undi Melayu dan merupakan satu-satu parti yang bakal kalah paling teruk.

Apa dia formula 10 dan 5 itu?

Formula berkenaan menurut Kit Siang adalah peratusan kecenderungan sokongan dari BN ke PH iaitu 10 peratus pengundi Melayu kali ini akan berpindah lari memihak ke PH dan PH akan mengaut tambahan 5 peratus lagi undi bukan Melayu yang pada PRU lalu memang telah condong pada mereka.

Dengan lonjakkan pertambahan 10 peratus undi Melayu dan 5 peratus bukan Melayu ini, PH sudah berkuasa di peringkat Persekutuan dan sebahagian besar negeri-negeri dan sudah pasti Kit Siang nanti akan berkuasa mencaturkan agendanya, bila BN dan PAS sudah dilemah dan dimatikan.

Ini bermakna Kit Siang mengakui dalam PRU ke 14 nanti akan berlaku satu gelombang besar yang diberi nama “Tsunami Melayu” cumanya beliau dengan licik cuba membayang dan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa gelombang itu nanti kononnya akan berpihak ke parti dan kumpulannya.

10 peratus undi protes Melayu dalam PRU ke 14 nanti bakal merobohkan kerajaan persekutuan yang ada dan melenyapkan PAS.

Bagi saya terbitnya ramalan Kit Siang ini, samada berasas atau sekadar propaganda politik, adalah merupakan sesuatu yang sangat baik dan harus diambil kira sebagai pengajaran dan iktibar oleh semua rakyat Malaysia khususnya umat Melayu dan Islam.

Betapa sesunggunya kedudukan nasib dan masa depan politik Melayu Islam dalam rencam demokrasi berpilihanraya di Malaysia hari ini sangat rapuh dan boleh sahaja sendeng dan rebah kiranya kita tidak berhati-hati dan mudah terpengaruh serta terpesona dengan agenda politik yang sejujurnya bakal menghakis kuasa dan dominasi politik Melayu Islam di tanahair.

Jika PH dan Kit Siang dapat merangkul formula 10 dan 5 ini, PH akan menang 113 kerusi dan berkuasa di peringkat Persekutuan. Ketika itu DAP sudah pasti menang sekurang-kurangnya 50 dari 113 kerusi Parlimen yang disebut Kit Siang itu dengan selebihnya barangkali dimenangi PKR, Bersatu, Pan yang tidak semestinya semua diwakili wakil Melayu Islam.

Maka jadilah DAP parti paling dominan di Putrajaya, juga dominan di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Selangor, dapatkah kita bayangkan keadaan itu jika dibiarkan berlaku?

DAP hari ini memusuhi dan sangat membenci PAS lantaran perjuangannya untuk menobat dan memartabatkan Islam di tanahair. DAP mahukan Malaysia yang adil dan seimbang buat semua, “Malaysian Malaysia” suatu slogan yang pernah dihidupkan oleh PAP dahulu sebelum Singapura keluar dari Malaysia. Ini bermakna segalanya nanti akan ditentukan oleh kriteria meritokrasi, tiada lagi atau mungkin mengecutlah hak istimewa yang dipertahankan selama ini.

Apalah nasib umat Melayu Islam yang merupakan penduduk majoriti dalam negara, kebajikan, amalan, anutan dan adat istiadat serta budaya kita bagaimana dalam regim baru yang pro liberalisma itu?

Benar dalam keadaan yang kalut dan tidak menentu hari ini kita wajib bangkit membawa dan membuat perubahan. Malaysia yang aman dan makmur ini jangan dibairkan diursukan oleh mereka yang punya agenda peribadi, tidak jujur dan kotor.

Apa yang perlu adalah perubahan sistem. Malaysia yang bertuah ini perlu dipulihkan dan tiada satu sistem yang menjanjikan kesudahan yang bermakna dan meyakinkan, dengan kesejahteraan dan keadilan buat semua kecuali kita kembali dan mengangkat sistem Islam yang dijamin oleh Allah dan Rasul Nya. Bukannya ganti kleptokrat dengan kleptokrat lain.

Formula 10 dan 5 Kit Siang jika dibenarkan berlaku hanya akan mencetuskan peralihan yang membawa ketegangan dan menggugat kestabilan. Ia makin menimbulkan lebih banyak keraguan dan ketidakpuasan hati yang hanya merugikan semua dan mengancam kestabilan yang ada.

Kerana itu PAS boleh bersetuju bahawa PRU ke 14 nanti akan mencetuskan Tsunami Melayu, kerana sesungguhya bangsa Melayu yang majoriti itulah yang paling banyak terkesan dan menderita hasil dari suasana politik dan ekonomi semasa.

Namun demikian PAS yakin orang Melayu dalam keadaan sedemikian tidak akan “membakar kelambu”, sebaliknya akan tunduk dan akur serta bakal lebih terpengaruh dengan akidah dan pegangan agama masing-masing. Aset paling besar pada setiap individu Melayu Islam rata-rata adalah akidah dan kepercayaan mereka. Lantas tsunami yang akan tercetus adalah “Tsunami Islam”.

PAS bangkit menyedarkan kelompok majoriti ini bahawa nasib dan masadepan umat Melayu malah seluruh rakyat Malaysia yang berbilang agama dan budaya adalah sesungguhnya terjamin kiranya mereka dipandu oleh Islam, bukannya agenda peribadi atau nafsu politik mana-mana individu dan kelompok tambah-tambah lagi rencana DAP.

Malaysia yang aman dan makmur ini akan lebih sejahtera dan kekal stabil kiranya yang diberi amanah memimpin rakyat dan negara dengan taat dan tunduk pada Allah swt bukannya sesama manusia apalagi pada mereka yang mahu mencabar dan merobah panduan sebenar Islam.

Ini masanya untuk merobah sistem ke arah kebaikan bukannya mencuba-cuba dan menguji sesuatu yang hanya akan merugikan nasib dan masa depan ummah. roslansms@gmail.com
 
 

Tiada ulasan: