Khamis, 28 September 2017

Pesta arak: Pertemuan Pas, Datuk Bandar PJ positif

SINAR ONLINE
 
 Pesta arak: Pertemuan Pas, Datuk Bandar PJ positif
Pertemuan Pas dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohd Azizi Mohd Zain menerima hasil yang positif.
 
 
SHAH ALAM – Hasil pertemuan Pas dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohd Azizi Mohd Zain bagi membantah penganjuran pesta arak ‘Oktober Fest 2017’ di One Utama, Petaling Jaya, Oktober nanti, amat positif.

Setiausaha Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor, Muhammad Najhan Halim berkata, kunjungan ini adalah bagi mendengar dengan lebih jelas dan tepat berkenaan permohonan penganjuran pesta arak kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Menurutnya, difahamkan bahawa permohonan pesta arak ini akan dibuat di kompleks membeli-belah One Utama.

“Namun setakat ini permohonan tidak mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Di samping itu, Pas pula menyuarakan pandangan dan cadangan kepada pihak Datuk Bandar termasuk mengemukakan bantahan terhadap permohonan penganjuran pesta arak ini sebagai tanggungjawab sosial dan mewakili masyarakat prihatin di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.


Dalam pertemuan kelmarin yang dihadiri empat Dewan Pas Negeri Selangor iaitu Ulamak, Pemuda, Muslimat dan Himpunan Penyokong itu, Pas amat konsisten berkaitan isu pesta arak, sejak dari tahun 2014 lagi telah membantah penganjuran ini.

Katanya, pandangan Pas jelas iaitu menolak aktiviti minum arak secara berpesta tanpa menolak hak menkonsumi arak di kalangan bukan Islam kerana membudayakan pesta arak adalah bertentangan dengan cara hidup rakyat Malaysia.

“Maka Pas sangat berharap agar permohonan tidak diluluskan oleh pengurusan MBPJ,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Tambahnya, semoga pertemuan ini menjadi titik tolak kepada kesedaran masyarakat dari semua peringkat bagi berganding bahu melaksanakan tugas Amar Makruf Nahi Mungkar serta membawa kesejahteraan di Negeri Selangor.

Tiada ulasan: