KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK)
mempertahankan tindakan penguat kuasanya mengeluarkan notis kepada
seorang pemuda yang berseluar pendek di tempat terbuka di sini semalam.
Ketua Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JHEAIK, Mohd. Fadzuli
Mohd. Zain berkata, notis tersebut dikeluarkan selaras dengan Seksyen 5
(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 iaitu perbuatan tidak
sopan.
Menurutnya, jika pemuda itu, Wan Khairul Hayyee Wali, 30, hanya
berseluar pendek di tempat bersesuaian seperti gelanggang futsal, dia
tidak akan dikenakan tindakan.
“Untuk makluman, peraturan ini bukan baru, sebaliknya sudah termaktub
sejak 1985, namun kita tidak kuatkuasakan secara tegas sehingga
sekarang.
“Langkah ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mahu mendidik semua
umat Islam tidak kira lelaki atau perempuan supaya mengambil langkah
menutup aurat,” katanya dipetik Utusan Online.
Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, individu bernama
Wan Khairul Hayyee Wali didenda kerana memakai seluar pendek untuk
bermain futsal.
Pekerja am di sebuah kedai yang diberikan notis berkaitan kesalahan itu
pada 10.45 Isnin malam memberitahu, dia memakai seluar pendek untuk
bermain futsal sejak sekolah dan mendakwa tidak tahu wujudnya peraturan
melarang pemakaian itu.
Dia juga mendakwa cuba menjelaskan kepada pegawai itu yang dia dalam
perjalanan untuk bermain futsal dan keluar daripada keretanya sebentar
membeli burger untuk isterinya.
Pemuda itu diarahkan untuk menghadiri sesi kaunseling bulan depan,
sekiranya gagal berbuat demikian dia akan dihadapkan ke mahkamah syariah
dan boleh didenda RM1,000 jika didapati bersalah.
Pemuda itu bagaimanapun memberitahu dia akan menghadiri sesi kaunseling itu.
Notis itu kemudiannya menjadi tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Mengulas lanjut, Mohd. Fadzuli memberitahu, notis sama pernah
dikeluarkan terhadap beberapa lelaki lain yang memakai seluar pendek di
tempat awam namun hanya kes Wan Khairul Hayyee mendapat perhatian kerana
tular di media sosial.
“Tahun ini, sesi kaunseling pertama sudah pun berjalan dan melibatkan
kira-kira 70 individu yang didapati melanggar peraturan tidak menutup
aurat. Majoritinya ialah golongan wanita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan