shahbudindotcom
Nampaknya ada sesuatu tidak kena dengan Perdana Menteri, Najib Razak sejak akhir-akhir ini.
Keadaan tidak kena itu secara automatik menjadikan dirinya sangat berbeza dengan mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.
Beliau kebelakangan ini didapati suka memuji dirinya sendiri dan gemar berkelakuan masuk bakul angkat sendiri.
Jika
minggu lalu Najib mengangkat bakul dirinya sendiri sebagai "Bapa
Pembangunan Kaum India", hari ini beliau tanpa segan-segan memuji
dirinya pula sebagai satu-satunya penyumbang kepada melonjaknya harga
buah durian musang king di negara ini.
Dengan kata mudah, daripada "Bapa Pembangunan Kaum India", Najib juga kini bergelar "Bapa Buah Durian Musang King."
Jika
dikira dengan gelaran "Bapa Pengangkutan Awam" yang diberi oleh Menteri
Pengangkutan, Liow Tiong Lai sebelum ini, "Bapa 1MDB", "bapa tiri
kepada Riza Aziz", "bapa hutang negara" dan beberapa panggilan bapa yang
lain lagi oleh kelompok tertentu dalam masyarakat, Najib barangkali boleh diiktiraf sebagai "Tokoh Gelaran Bapa Paling Banyak" di dunia.
Persoalan yang tentunya bermain-main di fikiran kita, kenapakah Najib suka sangat memuji dirinya sendiri?
Adakah beliau dahagakan puji-pujian dan sanjungan?
Tidak cukupkah dengan menteri-menteri, pemimpin UMNO, pengampu dan sekalian macai yang membodek dan mengampunya setiap hari?
Adakah tindakan Najib memuji diri sendiri kerana pujian-pujian mereka itu tidak memenuhi standard yang dikehendakinya?
Atau para menteri, pengampu dan macai perlu meningkatkan lagi pujian dan sanjungan mereka kepada Najib?
Apa
pun, sebelum Najib terus memuji dirinya sendiri selepas ini, tidakkah
beliau sedar bahawa perbuatan itu paling tidak baik sebagai manusia,
terutamanya dalam konteks Melayu dan Islam.
Sesiapa
pun tidak seharusnya memuji diri sendiri atas sumbangan atau kerja yang
dilakukan, apalagi sebagai pemimpin untuk rakyat yang dalam masa yang
sama turut dibayar gaji, elaun dan pelbagai kemudahan yang lain.
Memuji diri sendiri hanya memperlihatkan sikap sombong, takbur dan bangga diri - suatu sifat yang tidak disukai oleh agama.
Apa
juga sumbangan, peranan atau kerja kita untuk kebaikan rakyat, biarlah
orang lain yang menilai dan menghargainya, bukan Najib sendiri memberi
markah untuk dirinya sendiri.
Tidakkah tindakan memuji diri sendiri menggambarkan Najib sedang terdesak untuk memperlihatkan dirinya berbuat sesuatu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan