KUALA LUMPUR: Jaguh keirin dunia, Mohd Azizulhasni Awang telah melelong
sarung tangan yang digunakan semasa Sukan Olimpik Rio 2016 dengan harga
RM5,000 untuk sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
yang terbakar di Jalan Keramat Hujung, di sini, pada 14 Sept lepas.
Beliau yang pulang sehari dari Melbourne, Australia, semalam meluangkan
masa untuk melawat pusat tersebut untuk menyampaikan sumbangan dan juga
hasil daripada lelongan amal yang diadakan di akaun Instagram beliau,
empat hari lepas.
Katanya, sumbangan tersebut diharap dapat membantu menampung keperluan pusat tahfiz berkenaan.
"Hasil daripada lelongan dengan pembida tertinggi dengan RM5,000 dan
juga ditambah dengan sumbangan beberapa individu, kita sedekahkan kepada
pusat tahfiz ini.
"Saya harap dengan bantuan kecil ini dapat meringankan pusat tahfiz dan
anak-anak tahfiz ini," katanya, yang turut mengikuti perkembangan
tragedi kebakaran pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 murid serta dua
warden pusat berkenaan.
Azizulhasni melelong sepasang sarung tangan basikal 5Bling edisi
Rio2016 yang digunakan semasa meraih pingat gangsa acara keirin pada
temasya Sukan Olimpik di Rio tahun lepas.
Lelongan pertama yang berakhir jam 8 malam semalam, menyaksikan Menteri
Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjadi pembida tertinggi dengan
nilai RM5,000.
Sebelum ini, jaguh trek negara itu pernah melelong sarung tangan 'Save
Gaza' yang digunakan pada temasya Sukan Komanwel 2014 dan sumbangan
disalurkan ke Gaza.
Sementara itu, pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd
Zahid Mahmod berkata beliau sangat berbesar hati menerima kunjungan yang
tidak disangka daripada seorang atlet bertaraf dunia.
"Ketika berbual tadi, dia (Azizulhasni) berkongsi kesedihan dan rasa
keperitan apabila membaca perkembangan berita (kebakaran) ini," katanya.
Menurut beliau, Azizulhasni turut memaklumkan beliau mungkin akan mengunjungi pusat tahfiz berkenaan jika pulang ke tanah air.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan