Jumaat, 25 Ogos 2017

PAS Selangor Mahu Tanding Kerusi Wan Azizah & Azmin





SHAH ALAM: PAS Selangor mengumumkan kesediaannya untuk bertanding dua kerusi DUN yang kini disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Pesuruhjaya negeri, Sallehen Mukhyi merujuk kepada kerusi DUN Kajang dan Bukit Antarabangsa yang dimenangi Presiden dan Timbalan Presiden PKR itu.

“Sebenarnya sejarah sebelum adanya PKR sejak pilihan raya dulu PAS yang sangat berminat berada di banyak kerusi di Selangor.

“Setelah adanya PKR itu yang kita bagi beberapa kerusi. Bahkan di peringkat hendak mencadangkan Menteri Besar Selangor ketika lepas pilihan raya yang lalu, Presiden PAS yang mencadangkan supaya PKR yang kena jadi MB, bukannya PAS walaupun PAS menang 15 kerusi ketika itu,” katanya di sidang media PAS Selangor di Carlton Holiday Hotel, tengah hari tadi.

Untuk rekod Azmin menang dalam PRU13 di DUN Bukit Antarabangsa melawan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Nazim Ibrahim dengan undi sebanyak 16,502.

Manakala Wan Azizah pula berdepan dengan Datin Paduka Chew Mei Fun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang pada 2014 menang dengan undi sebanyak 16,741.

Ditanya keperluan untuk PAS mengambil semula kerusi tradisi Gombak yang dipinjam kepada Azmin, Sallehen berkata ‘ia wajib diambil’.

“Itu memang wajib kita ambil,” katanya kepada pemberita.

Azmin mula bertanding di Parlimen Gombak sejak pilihan raya umum 2008 yang lalu.

Akar umbi PAS pernah meminta kerusi itu diberikan semula kepada parti selepas kerjasama di dalam Pakatan Rakyat (PR) terbatal, apatah lagi selepas PKR mempunyai kerjasama baru dengan DAP dan Amanah.

Sementara itu PAS Selangor juga bakal bertanding di 42 kerusi DUN, sekaligus sedia berdepan dengan persaingan tiga penjuru.

“Keputusan untuk bertanding di 42 kerusi telah dipersetujui oleh PAS Pusat, manakala bagi kerusi Parlimen ia akan diputuskan oleh PAS Pusat,” katanya.

Dalam pada itu Sallehen berkata situasi tiga penjuru dalam PRU14 bukan dimulakan oleh PAS sebaliknya DAP dan Amanah menerusi kenyataan provokasi.

“Perlu diingat bahawa pertembungan tiga penjuru di Selangor jika ia berlaku bukan dimula oleh PAS kerana rekod menunjukkan DAP dan Amanah yang terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan untuk bertanding di kerusi-kerusi PAS.

“Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua dalam kenyataannya pada 30 Oktober 2015 menyebut partinya akan meletak calon di lapan kawasan PAS menang, kemudian diikuti kenyataan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim pada 31 Disember 2016 bahawa parti itu mahu bertanding di kesemua kerusi parti,” ujarnya – AP

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: