Roketkini.com
IPOH: Datuk Seri Najib Razak yang kini semakin terdesak sanggup membandingkan kehidupan rakyat Malaysia dengan rakyat di negara Iraq sewaktu pemerintahan Presiden Saddam Hussein bagi menakut-nakutkan pengundi yang inginkan perubahan.
Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, kehidupan rakyat di negara teluk itu kononnya adalah lebih baik di bawah pentadbiran diktator jika dibandingkan dengan selepas berlakunya peperangan, selain menggelar mereka yang mahu menukar kerajaan sebagai bodoh.
“Menukar kerajaan bukan penyelesaian, kalau lebih baik masuk akal, kalau lebih buruk, lebih mendatang bala dan bencana serta lebih tidak menentu, lebih mendatangkan bala dan bencana itu bodoh punya kerja. Minta maaf terpaksa kata.
“Doktor saya di IJN (Institut Jantung Negara) bagi tahu ada pesakitnya orang Iraq apabila tanya mana lebih baik dahulu atau sekarang, dia kata seburuk-buruk zaman Presiden Saddam Hussein sekurang-kurangnya mereka ada makanan di atas meja, anak boleh ke sekolah, keadaan negara aman.
“Tetapi sekarang lihatlah, hancur lebur semuanya… kerana itulah menjatuhkan kerajaan sedia ada tidak akan menjanjikan kerajaan yang lebih baik,” katanya dipetik laporan Bernama, semalam.
Mengulas mengenai kenyataan Najib berkenaan, Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee berkata, adalah dangkal untuk membandingkan situasi di Iraq dengan di Malaysia.
“Umum ketahui bahawa pencerobohan tentera Amerika Syarikat, dan UK pada tahun 2003 dengan matlamat penukaran rejim merupakan suatu peperangan yang telah membawa hancur lebur kepada Iraq.
“Tetapi yang rakyat Malaysia hendakkan bukannya peperangan, tetapi penukaran kerajaan melalui sistem demokratik berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Hujah Najib Razak kini terdesak, sehingga tidak masuk akal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adun Pasir Pinji itu berkata, rakyat Malaysia berhak menerima lebih dan bukan sekadar perkara asas.
“Yang rakyat Malaysia berhak, adalah pendidikan tinggi percuma dan layanan yang adil dan saksama terhadap anak muda Malaysia.
“Yang anak Malaysia hendakkan adalah sebuah ekonomi yang dinikmati oleh semua golongan rakyat.
“Justeru, rakyat Malaysia perlu dibebaskan dari cengkaman penguasa, dan pada masa yang sama pencuri, penyamun dan perompak wajib dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan