Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Keputusan untuk memecat Ketua Penerangan PKR Kelantan,
Mohammad Azihan Che Seman dilakukan kerana pemimpin itu menyalahi
peraturan berorganisasi, iaitu membuat kenyataan peribadi atas nama
parti.
Tegas Pengerusi PKR Kelantan, Abd Aziz Abd Kadir, keputusan tersebut
dicapai selepas perbincangan dilakukan antara pimpinan parti peringkat
negeri.
"Ya, sebab dia buat kenyataan bukan atas kapasiti peribadi tetapi atas
nama Ketua Penerangan PKR Kelantan. Kenyataannya itu seratus peratus
silap.
"Setelah kami bincang dikalangan pimpinan kanan di Kelantan, kami ambil persetujuan merehatkan dia," katanya kepada Antarapos.
Ditanya sama ada istilah 'merehatkan' memberi maksud 'memecat', Abd
Aziz mengesahkannya sambil menambah, tindakan Azihan merupakan satu
kesalahan besar.
Azihan pada 6 Ogos lalu dalam satu kenyataan memberitahu bahawa Majlis
Pimpinan PKR Kelantan mengadakan mesyuarat khas pada 17 Mei dan 5 Jun
lalu dan mengambil ketetapan bersetuju menerima keputusan Biro Politik
PKR Pusat.
Kata Azihan, keputusan untuk wakil PKR meletak jawatan dalam kerajaan
Kelantan dipersetujui bagi dilaksanakan pada 31 Julai 2017.
Azihan juga menyenaraikan enam pemimpin PKR Kelantan yang disenaraikan
sebagai ahli majlis daerah tetapi belum mengangkat sumpah, membuat
keputusan untuk tidak berbuat demikian.
Susulan itu, Abd Aziz kemudian tampil menyangkal kenyataan Azihan,
sambil menegaskan bahawa PKR Kelantan masih belum ada kepastian mengenai
peletakan jawatan bagi lantikan politik dalam kerajaan pimpinan PAS
itu.
Abd Aziz juga dalam reaksinya beberapa hari lalu berkata, kenyataan
Azihan tidak melalui perbincangan dengan pimpinan peringkat negeri.
Dalam pada itu ditanya bila pemecatan Azihan berkuatkuasa, jawab Abd
Aziz, ia adalah sehari selepas pemimpin berkenaan mengeluarkan
kenyataannya.
Abd Aziz juga berkata, hubungannya dengan Azihan masih baik seperti biasa dan pemimpin itu sendiri mengakui kesilapannya.
Keputusan memecat Azihan juga akan dimaklumkan segera kepada pimpinan pusat, tambah Abd Aziz.
Sementara itu Abd Aziz menyangkal kenyataan Penyelaras Solidariti Anak
Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard yang
menyifatkan dirinya kartel Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali
ekoran memecat Azihan.
"Chegubard ini saya tak berapa masuk sangat (apa yang dia kata) dalam
kepala saya. Saya tak tahu arah mana dia ni, dia saja betul, orang lain
tak betul," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan