MALAYSIAKINI
Sebelas tahun lalu, Lim Kit Siang menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian tukaran mata wang asing (forex) Bank Negara. Ini sebelum pemimpin veteran DAP itu dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi rakan sekutu.
Pada 15 Julai tahun ini, kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah RCI, yang antara lain, ditugaskan untuk menentukan sama ada terdapat percubaan untuk mengelirukan kabinet dan parlimen.
Justeru, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, adalah salah untuk mendakwa bahawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menubuhkan RCI forex dengan tujuan untuk membalas dendam terhadap Mahathir.
Malah menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, RCI dilaksanakan oleh kerajaan berdasarkan permintaan rakyat, demi kepentingan rakyat dan bukan dengan niat mahu membalas dendam.
“Lim membangkitkan perkara itu di dalam parlimen pada tahun 1994, iaitu setahun selepas tersebarnya berita bahawa negara kerugian berbilion ringgit dalam pelaburan tersebut.
“Dan 12 tahun kemudian, pada tahun 2006, Lim sekali lagi membangkitkan isu tersebut di dalam parlimen dan menuntut supaya RCI diwujudkan bagi menyiasat perkara ini malah beliau memberikan fakta-fakta yang lebih terperinci berhubung kerugian yang dialami oleh negara berhubung perkara tersebut.
“Dan Lim juga adalah orang pertama yang memberikan gambaran jumlah kerugian kerajaan dalam forex trading itu telah mencecah separuh daripada jumlah rezab negara yang ketika itu keseluruhannya berjumlah sebanyak RM60 bilion,” katanya dipetik oleh portal Umno Online.
Berdasarkan ini, Annuar berkata RCI dibentuk atas kehendak dan inisiatif DAP manakala kerajaan melihat desakan parti pembangkang itu sebagai relevan dengan kepentingan rakyat.
Sebelum ini, Lim menjelaskan bahawa pendiriannya terhadap RCI mengenai kerugian forex tidak berubah, tetapi menekankan perlunya suruhanjaya serupa dibentuk untuk menyiasat skandal 1MDB.
Semasa pendengaran pertama hari Isnin lalu, RCI enam anggota itu menyimpulkan bahawa kerugian forex berjumlah RM31.5 bilion dan ini tidak dicerminkan dalam rekod Bank Negara.
Pengerusi Suruhanjaya itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata RCI kini harus menentukan siapa yang mahu angka itu disembunyikan.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang adalah menteri kewangan ketika itu, menafikan beliau yang mencadangkan tentang keperluan untuk menutup kerugian sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan