Sabtu, 1 Julai 2017

Simpanan stok bauksit, bukti perlombongan haram

 Berita Daily Staff

Cadangan kerajaan negeri Pahang untuk melanjutkan moratorium sehingga PRU14 dilihat sebagai usaha bermuka-muka dengan rakyat

KUALA LUMPUR: Keputusan sambung moratorium ke atas bauksit dengan tujuan untuk bersihkan simpanan stok (stokpile), merupakan bukti berlaku perlombongan haram, dan akan menghalalkan aktiviti haram ini berterusan.

Demikian kata, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh ketika mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Wan Junaidi Tuanku Jafaar sewaktu mengumumkan moratorium disambung sehingga 31 Dec 2017.

Menurut Fuziah,  pada permulaan moratorium Nov 2015, jumlah simpanan stok (stokpile) di luar Pelabuhan Kuantan yang di jangkakan perlu di bersihkan hanyalah 5.4 juta metrik ton.

“Tetapi kenyataan Menteri menjelaskan bahawa Jumlah stokpile di luar Pelabuhan Kuantan yang di eksport  sehingga 8 jun 2017 ialah 5.8 juta metrik ton.”

“Ini menunjukkan berlaku peningkatan jumlah stokpile tatkala sudah di umumkan moratorium.
Maksudnya berlaku aktiviti mengorek bauxite haram,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, penyambungan moratorium atas alasan membersihkan stokpile akan memudahkan lagi aktiviti perlombongan haram ini.

“Dan akan membiarkan aktiviti ini berleluasa.”

“Saya khuatir sekiranya aktiviti perlombongan haram ini berlanjutan maka kualiti air sungai akan kembali tercemar. Begitu juga kualiti udara akan tercemar juga. Akibatnya ialah kesengsaraan yang berterusan buat warga Kuantan keseluruhannya,” katanya.

Fuziah turut menggesa selain dari moratorium, bekukan dahulu permit ekspot bauksit sehingga dalang yang terlibat dalam aktiviti perlombongan haram dapat di kenal pasti dan di bendung.

“Kemudian baru dibersihkan stokpile. Meminta kerajaan negri bekerjasama untuk mengenalpasti di dalam penguatkuasaan perlombongan haram, terbukti tidak berkesan, dan bukan jalan penyelesaian.”

“Malah cadangan kerajaan negeri Pahang untuk melanjutkan moratorium sehingga PRU14 dilihat sebagai usaha bermuka-muka dengan rakyat,”  ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: