MSO
Membuka
bicara maudu' politik selepas berihat lebih sebulan kerana berpuasa,
saya ingin mengisahkan perihal Ibrahim Ali yang saya panggil dia sebagai
Selentia. Saya kira Inchik Ibrahim tidak tersinggung kerana saya
memanggilnya demikian kerana dia sendiri menganggap dia sebagai sang
"Raja Katak".
Apa yang hendak saya perihal hal Ibrahim kali ini ialah mengenai
hasratnya atau angan-angan dipasangnya menjelang Piraum -- pilihan raya
umum akan datang. Kandati beberapa kali dia menafikan untuk tidak mahu
mengambil bahagian dalam pilihan raya alasan sudah tua, tetapi penafian
itu hanya dibibir sahaja. Tiadak ada sesiapa mempercayainya.
Ibrahim adalah ahli politik tulen, di mana pilihan raya baginya
sepertilah itik dengan air. Itik tidak akan dapat melihat air, walaupun
setohor mana, secemar mana, pantang melihat air, ia akan turun dan
berenang juga. Begitulah juga Ibrahim dengan dunia politik yang menjadi
darah dagingnya. Pilihan raya adalah hari raya buatnya.
Sejak dia mengenali sifir politik, dia tidak pernah diam diri dari ikut
sama berlawan dan menyertai politik-- bertanding dalam pilihan raya.
Bukan sahaja pilihan raya umum, tetapi pilihan raya kecil juga disertai,
sehinggakan membawa mala petaka dan memberi rekod buruk kepadanya
hilang deposit.
Iya, Ibrahim pernah kalah sampai wang depositnya hilang. Ini berlaku
dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir akhir tahun 2006 apabila meraih
hanya 240 undi.
Dalam pada itu sebagai ahli politik yang boleh dianggap excellent,
Ibrahim mencatat kemenangan sebanyak enam kali di kerusi parlimen dan
enam kali juga dia kalah di kerusi parlimen. Kejayaan itu jarang diraih
oleh ahli politik lain di kawasan sama. Kekalahan terakhir kepadanya
ialah pada tahun 2013, dan kemenangan terakhir ialah pada tahun 2008.
Semua kenangan manis dan pahit itu Ibrahim catat di kerusi parlimen
Pasir Mas yang menjadi kuatnya.
Sepanjang penglibatan Ibrahim dalam politik secara aktif selama lebih 40
tahun, sejak tahun 1978 Ibrahim tidak pernah meningalkan Pasir Mas
sebagai pengkalan dan kubu politiknya. Ibrahim tidak pernah bertanding
di luar kawasan Pasir Mas, walaupun dia mengaku dia adalah tokoh ever green
di Kelantan, dikenali oleh rakyat Kelantan dari Bachok hingga ke Gua
Musang oleh golongan bangsawan hinggalah kepada masyarakat Orang Asli.
Kalah atau menang beliau tetap berada di Pasir Mas. Pasir Mas adalah
tempat tumpah darahnya dan dikira tempat akan mengembumikan jasad
politiknya. Kerana lamanya dia bertumas dan berjerumu di situ
menyebabkan setiap inci bumi Pasir Mas dijejakinya. Setiap wajah dan
orang Pasir Mas dikenalinya. Bahkan kalau tidak semua hampir separuh
orang Pasir Mas pernah merasai nikmat daripadanya dan dibantunya.
Menerima jasa dan budi yang ditaburnya selama dia berada di Pasir Mas
sama ada semasa dia menang dan juga kalah.
Penglibatan Ibrahim dalam membantu orang Pasri Mas tidak dapat siapa
nafikan. Mereka yang menafikan hanya orang yang membenci dirinya dan
juga yang buta mengenali politik Ibrahim dan jahil menilai
perjuangannya. Ada juga yang membencinya tetapi di dalam hati tetap
menerima kehebatan dan keulitan dia sebagai pejuang di Pasir Mas.
Ibrahim adalah Adi Jagat di Pasir Mas, nama yang disanjung dijulangnya
sendiri.
Dari segi pembangunan infrastruktur di Pasir Mas, apa yang tidak dibawa
oleh Ibrahim. Boleh dikatakan wajah Pasir Mas berubah atas usahanya.
Beliau menggunakan hubungan personalnya dengan para menteri untuk
membawa projek demi rakyat. Dengan muka tidak tahu malu, beliau menuntut
apa-apa sahaja projek untuk rakyat dan kepentingan bumi Pasir Mas. Di
samping dia berjuang untuk kepentingan duniawi dirinya, dia juga
berjuang untuk rakyat. Ibrahim adalah memerang yang menyelam sambil
minum air.
Jambatan Tendong, Bangunan Mara di Pasir Mas, Jambatan Pasir Mas Salor,
Kolej Kemahiran Tinggi Mara Lubuk Jong, bandar baharu Lubuk Jong, adalah
antara mercu tanda kejayaan Ibrahim di Pasir Mas. Kalau pun Ibrahim
belum sempat membawa pembangunan di Pasir Mas ialah pembinaan sebuah
universiti atau pusat pengajian tinggi.
Pendeknya Pasir Mas adalah bumi menjadi medan perjuangannya dan seharusnya di situ juga dunia politiknya akan berakhir.
Tetapi tampaknya tidak begitu. Ibrahim tidak menjadikan Pasir Mas bumi
tempat dia berpijak awal dan akan menurunkan titik akhir di situ. Beliau
kini sedang membina penghidupan, maksudnya membuka medan politik baharu
di kawasan di luar Pasir Mas. Beliau perlahan-lahan sedang membawa hati
untuk meninggalkan Pasir Mas.
Apa dimaksudkan, kini khabarnya Ibrhaim sedang merisik khabar untuk
bertapak di parlimen Rantau Panjang pula yang bersempadan dengan
parlimen Pasir Mas dan Tanah Merah.
Ramai yang sudah perasaan Ibrahim tidak mempedulikan Pasir Mas apabila
beliau kalah dalam pilihan Piraum ke 13 lalu kepada anak Tokguru Nik
Aziz Nik Mat yang disifatkan sebagai "anak kera". Kekalahan kepada "anak
kera" itu sungguh memalukannya. Katanya Ibrahim terkilan dengan
pengundi di Pasir Mas yang rela menerima "anak kera" daripadanya yang
banyak berjasa.
Dalam satu ceramah dalam meremehkan calon parti aagama yang menumpang
pengaruh bapak itu Ibrahim menyifatkan calon itu sebagai "anak kera".
Kekalahan itu sungguh mengaibkannya. Dia kalah di tangan budak mentah
yang berhingus dalam politik. Ibrahim sungguh terkilan dengan pengundi
di Pasir Mas. Kerana keterkilanan itu menyebabkan dia tidak mempedulikan
lagi Pasir Mas. Ibrahim berasakan kekalahan itu sebagai petanda orang
Pasir Mas tidak sayangkannya dan tidak tahu menilai budi dan jasanya.
Penghijrahannya ke luar Pasir Mas adalah dendamnya.
Sejak itu beliau tinggalkan Pasir Mas. Segala kegiatan dan kepeduliannya
kepada masyarakat Pasir Mas tidak diteruskan seperi biasa. Acara makan
colek pada sepajang bulan Ramadhan yang menjadi acara tahunan yang
meriah, ditinggalkan. Khabarnya ada gerai-gerai colek perut yang
diwujudkan untuk memenuhi permintaan Ibrahim menutup operasi apabila
Ibrahim tidak lagi berkebajikan di Pasir Mas. Tindakan Ibrahim itu
memberi kesan kepada industeri colek di bulan puasa.
Bukan itu sahaja, majlis atau acara lain yang sering dibawa dan diadakan
di Pasir Mas juga langsung tidak diadakan. Pasir Mas seolah-olah
menjadi daerah asing bagi Ibrahim. Mereka yang selama ini menumpang
kasih dan mendapat limpahan rezeki daripada kegiatannya juga merunggut
kesedihan. Keadaan itulah menyebabkan Ibrahim kini dikatakan akan
berpindah.
Saya sendiri maklum perkara itu dan diberi tahu yang Ibrahim sedang
mengaturkan perpindahan untuk meninggalkan Pasir Mas. Saya mulanya tidak
percaya, tetapi setelah saya melihat sendiri apa yang berlaku baharu
saya yakini. Iya, benar Ibrahim membina tapak baharu di Rantau Panjang. Wel come.
Beliau sudah membuka pejabat untuk berurusan dengan rakyat Rantau
Panjang di Lubuk Jong. Dan semasa hari raya lalu terdapat beberapa banner
ucap selamat hari raya yang terpampang gambar dia bersama isterinya
dipasang di beberapa tempat dalam kawasan Rantau Panjang. Yang jelas
kepada saya dua banner dipasang di dalam Dun Gual Periok; kampung
saya, dipasang betul-betul ditiang api yang berdekatan dengan tanah
milik saya di Gua Tinggi.
Dengan adanya banner ucap selamat itu maka nyata Ibrahim sudah mula bergerak dalam Rantau Panjang. Kalau tidak ada mengadakan untuk apa banner
Ibrahim berada di situ. Khabarnya di sepanjang bulan Ramadhan lalu,
beberapa majlis perjumpaan santai dan berbuka puasa dengan pengundi atau
penduduk dalam parlimen Rantau Panjang juga diadakan.
Anaranya ialah di markaz besarnya di Lubuk Jong, dalam Dun Bukit Tuku,
majlis berbuka puasa di masjid Lubuk Jong, di rumahnya di Tendong, di
Wakaf Baru, di Kangkong, di Pekan Rantau Panjang, di Meranti dan
lain-lain.
Ikhlas saya nyatakan sebagai orang Rantau Pajang, dan mengundi di Gual
Periok saya mengalu-alukan kehadiran Ibraim ke bumi Rantau Panjang. Satu
segi saya tidak bersetuju dengan cara Ibrahim berpolitik tetapi dari
sudut lain beliau mempunyai keistimewaan tersendiri yang jarang
kedapatan kepada ahli politik lain.
Buruk atau baik, senang atau benci Ibrahim adalah sebahagian daripada
sejarah politik Kelantan. Apabila dibaca tawarikh politik Kelantan nama
Ibrahim tidak akan dilupakan sama seperti nama-nama besar lain seperti
Allahyarham Mohd Asri Muda, Hussein Ahmad, Tengku Razaleigh ataupun
Allahyarham Tokguru Nik Aziz sendiri.
Kenapa? Tunggu sambungan catatan ini, dan saya juga akan membuat ulasan
apakah nasib bakal diterima Ibrahim nanti dengan penghijrahannya itu.
Apakah si Selentia ini akan berjaya mencipta sejarah di Rantau Panjang
atau pun beliau akan mengakhiri kerier politiknya di sungai Golok
kemudian hanyut hingga ke Kuala Tabai?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan