PERSATUAN Pengguna
Pulau Pinang (CAP) terkejut mendapati bahawa beratus kontena berisi
dengan sisa plastik dan sekerap tayar dihantar dan ditinggalkan terbiar
di Pelabuhan Klang.
Walaupun
langkah yang ketat dikenakan, dilaporkan bahawa ketika kemuncak masalah
itu, pelabuhan itu mempunyai hampir 800 kontena sisa seperti itu dan
pihak pelabuhan terpaksa membersihkannya dalam tempoh beberapa tahun
sehingga 280 kontena seperti itu yang masih kekal.
Kesannya
pelabuhan itu terpaksa menanggung beban kos berjumlah kira-kira RM25
juta untuk mengendalikan sampah itu. Ia juga menimbulkan kebimbangan
bahawa beberapa sisa plastik ini didapati tercemar dengan bahan kimia.
Tambahan
pula, memandangkan jumlah bahan sisa plastik dan sekerap tayar itu,
Malaysia perlu bimbang mengenai pelupusan bertan-tan bahan yang sukar
lupus dan tidak mesra alam sekitar.
Sesetengah
sisa ini diimport untuk kitar semula oleh pengirim sebenar tetapi
akhirnya terbiar disebabkan oleh bayaran pengangkutan yang tidak dibayar
oleh penerima konsain tempatan. Sisa ini dihantar dari negara- negara
seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun.
Bagaimanapun,
jika sisa import itu tercemar dengan sisa berbahaya, ia terikat dengan
peruntukan dalam Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Merentas
Sempadan bagi Sisa Berbahaya dan Pelupusannya di mana pembuangan adalah
dilarang.
Jabatan
Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) bertanggungjawab mengeluarkan
permit import bagi sisa plastik. Perintah Kastam (Larangan Import)
(Pindaan) 2015 meletakkan sisa plastik dengan kod tarif HS 3915 dalam
Bahagian 1, Jadual Kedua di mana semua import ke Malaysia dilarang
kecuali dengan Permit Kelulusan (AP).
Tanpa
permit itu, kargo tidak boleh dilepaskan dan pelabuhan tertinggal dengan
kargo yang mungkin mempunyai sisa plastik tercemar.
Adakah
pihak berkuasa pelabuhan mempunyai penyelesaian kepada masalah longgokan
dan kargo terbiar dan apakah kemungkinan tindakan yang boleh diambil
oleh Malaysia terhadap pengimport yang gagal untuk mendapatkan permit
import, mengikuti garis panduan, atau membawa masuk bahan sisa tercemar?
CAP merasa
amat bimbang mengenai kuantiti sisa bahan plastik yang diimport dan
dieksport oleh Malaysia. Pada 2016, berdasarkan kepada Pangkalan Data
Comtrade PBB, Malaysia mengeksport 163,622.4 tan manakala mengimport
287,673.3 tan sisa plastik, sisa dan sekerap.
Kami
bimbang bukan hanya Pelabuhan Klang disasarkan tetapi pelabuhan lain di
Malaysia mungkin juga menjadi tempat longgokan sisa berbahaya seperti
logam dan plastik tercemar, sisa elektronik, bahagian buangan kenderaan
yang berminyak dan sisa bahaya lain.
Terdapat
juga pelabuhan-pelabuhan lain contohnya Pelabuhan Johor, Pelabuhan
Tanjung Pelepas, Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan
Bintulu yang kita tidak tahu sejauh mana masalah yang dihadapi oleh
mereka.
Sehubungan
itu, CAP menyarankan agar diharamkan import sisa plastik untuk
mengekang kemungkinan Malaysia menjadi tempat longgokan dan hab bagi
penghantaran sisa plastik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan