Orang ramai melihat cadangan untuk menjadikan beberapa buah negeri sebagai Wilayah Persekutuan hanyalah sebagai helah politik semata-mata untuk kepentingan kerajaan Barisan Nasional (BN)
KUALA LUMPUR: Orang ramai melihat cadangan untuk menjadikan beberapa buah negeri sebagai Wilayah Persekutuan hanyalah sebagai helah politik semata-mata untuk kepentingan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Kebanyakan mereka menolak idea yang diutarakan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor itu dan berkata penjelasan konkrit perlu diberikan sebelum perkara itu dilaksanakan.
Rogayah Tajuddin, 29, berkata cadangan itu hanya memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja.
Walaupun terdapat negeri yang diperintah BN, ia akan mewujudkan ketidak adilan apabila nasib pentadbiran sesebuah parti ditentukan oleh sistem pilihan raya yang adil, dan kuasa parti pembangkang khususnya yang memerintah negeri tertentu akan tersekat.
“Kerajaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya tukar negeri tertentu menjadi wilayah persekutuan.
“Tidak cukup ke dengan negeri wilayah persekutuan yang ada sekarang, sudah tentu nanti banyak percanggahan yang akan berlaku,” katanya kepada Berita Daily.
Anak jati Kedah itu berkata, perkara itu hanya menggambarkan BN bersungguh-sungguh untuk cuba mengekalkan kuasa mereka apabila menyedari parti pembangkang bertambah kuat dan dilihat berpotensi menguasai banyak negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
“Saya rasa kerajaan buat macam ini sebab mereka terasa terancam dengan kehadiran beberapa parti baru yang akan mengambil alih beberapa kawasan.
“Sebab itu kalau boleh kawasan sasaran pembangkang tu mereka mahu ambil juga secepat yang mungkin, dengan itu mereka boleh menang besar dalam pilihan raya akan datang,” tambahnya.
Dalam cadangannya, Tengku Adnan, yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, berkata perluasan kawasan wilayah persekutuan akan merangkumi Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian daripada Melaka.
Negeri-negeri berkenaan akan diletak di bawah pentadbiran Putrajaya dan secara langsung bakal mendapat lebih banyak peruntukan serta perhatian daripada kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagaimanapun menolak idea Tengku Adnan dan berkata ia tidak selari dengan Perlembagaan serta tidak munasabah.
Sementara itu Kedah yang ditabdir BN juga senada dengan Lim, menolak usaha untuk menjadikan Langkawi sebagai sebahagian daripada wilayah persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya, Mohd Rawi Abdul Hamid berkata sebagai `tuan tanah’, kerajaan negeri mempunyai hak untuk membantah cadangan berkenaan.
Ahmad Khairil Nizam Latip, 30, berkata tindakan Ku Nan hanya akan memberikan persepsi buruk kepada kerajaan memerintah kecuali ianya diberikan penjelasan yang konkrit.
Tambahnya jika benar hanya dari aspek peruntukan, ianya memang menjadi salah satu tanggungjawab untuk kerajaan Persekutuan dalam bekerjasama dengan kerajaan negeri terutamanya dalam memastikan pembangunan dapat diberikan.
“Apa alasan untuk negeri-negeri itu diletakkan sebagai negeri wilayah persekutuan, ada asas ke tidak? Berikan asas, dan kalau ianya munasabah saya yakin ia tidak akan ditolak.
“Apa Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya tidak cukup lagi?,” katanya.
Sementara itu, Juliana Kahar 30, pula menjangkakan, perkara ini sekiranya dilaksanakan hanya akan membantutkan pembangunan khususnya apabila wujudnya percanggahan di dalam pembuatan keputusan di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Sebenarnya tidak wajar, ini akan melibatkan proses pembuatan keputusan, nanti sebelah pihak kata ini, sebelah pihak tidak setuju. Biarkan sahajalah kerajaan negeri yang terlibat dalam membuat keputusan, tanpa campur tangan pun kerajaan Persekutuan boleh memberikan peruntukan,” katanya.
Norlimi Farima Minggu, berkata cukuplah dengan tiga wilayah persekutuan pada masa ini dan mengekalkan negeri-negeri yang lain untuk membuktikan kerajaan adil dalam memberikan pembangunan kepada seluruh negara.
“Bagi saya, biarlah cukup negeri wilayah persekutuan yang ada. Biar tunjuk adil sikit tidak perlu untuk isytihar sana sini nak dijadikan negeri wilayah persekutuan pun masih dapat jalankan tanggungjawab kan,” kata Norlimi, 31.
Hazirah Salleh bgaimanapun berpendapat, kerajaan berhak untuk menambah mana-mana negeri di bawah wilayah persekutuan, namun ianya perlu mengikut lunas undang-undang.
“Dari segi umumnya, segala tindakan tersebut tidak melanggar apa-apa undang-undang negara dan masih di bawah kuasa penerintahan, tidak ada masalah, selagi untuk kebaikan tiada masalah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan