Selasa, 14 Februari 2017

Cekalnya si tukang kasut sebagai perantau selama 30 tahun

Shawaliah Hadir
 
 
Syafrizal Junin berasal dari perkampungan kecil di Sumatera Barat, Indonesia nekad masuk ke Malaysia secara haram pada 1987 untuk bekerja sebagai buruh binaan sebelum menjadi tukang kasut.

KITA sering mendengar dan menyebut ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri’. Pepatah ini membawa maksud, walaubagaimana baik pun keadaan di tempat negara lain, tempat atau negara kita yang asal jugalah yang terbaik dan jauh lebih selesa.

Namun ini berbeza dengan Syafrizal Junin 65 yang berasal dari sebuah perkampungan kecil, Sungai Geringging di dalam daerah Padang Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia yang telah berada Malaysia selama 30 tahun.

Walaupun mencari rezeki di negara ini hanya dengan mengambil upah membaiki kasut atau selipar di kawasan kedai makan di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, Syafrizal langsung tidak mempunyai hasrat sekalipun terlintas di fikirannya untuk pulang ke kampung halamannya.

“Ada duit atau tiada saya sudah tiada rasa mahu pulang kampung, biarlah saya cari makan di sini,” katanya kepada Berita Daily.

Tukang Kasut

Mengimbas kembali kepayahan dan kegigihannya masuk ke Malaysia secara ‘haram’ dengan hanya menaiki sampan yang memuatkan 40 orang warga Indonesia yang lain pada 1987, beliau yang kini telah mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia berpendirian bahawa hidupnya di tempat kelahirannya akan jauh lebih susah dari sekarang jika dia tidak membuat keputusan untuk merantau.

Masalah keluarga yang membabitkan perebutan harta pusaka juga menjadikan Syafrizal nekad membawa diri dan hati sejauh yang beliau sendiri tidak sangka pada awalnya.

“Orang kata, masa itu nak ubah nasib lagi saya datang ke sini untuk bawa diri setelah ibu bapa saya meninggal dunia. Saya datang ke Malaysia setelah emak saya meninggal dunia adik-beradik keluarga mak berebut tanah.

“Saya masuk Malaysia secara haram duduk dalam sampan yang mempunyai 40 orang. Kalau di Indonesia pun saya tiada duit. Lagi pun saya sudah dapat kewarganegaraan di sini kan,” tambahnya.

Menjadi tukang kasut

Sebelum menjadi ‘tukang kasut’ yang mampu mendapat hasil RM200 setiap hari, beliau bekerja sebagai buruh binaan sejurus tibanya di Malaysia puluhan tahun yang lalu.

Namun beliau membuat keputusan untuk berhenti apabila merasakan dirinya tidak lagi mampu melakukan kerja yang berat lapan tahun yang lalu.

“Satu hari upah jahit kasut paling banyak RM200 paling kurang RM50. Kalau tidak bekerja kadang-kadang tiada langsung,” ujarnya.

Syafrizal sebelum datang ke Malaysia memberitahu pernah berkahwin dan mempunyai sepasang anak sebelum isterinya meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. Dia kemudiannya berkahwin sekali lagi dengan seorang warga Indonesia selepas bekerja di sini.

Namun hubungannya dengan keluarganya tidak baik sehingga mengakibatkan anak daripada perkahwinan keduanya memisahkan daripada isterinya yang kini entah di mana.

Kehidupannya sepanjang lapan tahun ini digambarkannya sebagai tidak teratur dan tidak selesa seperti yang dirasakan dengan orang lain yang mempunyai tempat berteduh untuk berehat daripada kepenatan setelah berhempas pulas bekerja saban hari.

Beliau yang pada mulanya menyewa bilik bersama rakan-rakannya di Selayang Baru selepas menjadi ‘tukang kasut’, kini hanya tidur di bahu jalan di mana dia membuka ‘gerai kecilnya’ kerana tidak mampu.

Syafrizal hanya makan sekali atau dua kali bergantung kepada jumlah pendapatannya setiap hari, dan menumpang mandi di bilik sewa rakan-rakannya.

“Saya pun tidak lagi tinggal menyewa di Selayang Baru. Sudah sebulan saya hanya tidur di tepi jalan sahaja di tepi tempat saya membaiki kasut. Nak cari bilik sewa lain, sekarang susah lagi mahal juga.

“Malam saya hanya pakai selimut dan baju tebal tidur macam biasa. Saya hanya menumpang mandi di bilik sewa kawan-kawan yang ada di sekitar Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Oleh kerana dihimpit dengan kemelut kehidupan untuk menyara diri sendiri, ‘tukang kasut’ ini terpaksa meminjam wang daripada Along dan terpaksa membayar RM30 setiap hari demi melangsaikan hutangnya.

Namun begitu, beliau tetap menganggap keperitan yang ditanggungnya pada waktu ini sebagai norma kehidupan sebagai manusia yang tidak lepas daripada menghadapi cubaan.

Apa yang penting baginya ialah melalui rutin sehariannya dengan mencari sesuap nasi untuk dirinya sendiri walaupun tidak mempunyai tempat berteduh.

“Dalam hidup kita ini macam inilah, kesusahan macam-macam,” katanya.

Tiada ulasan: