MALAYSIAKINI
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad
merasakan masanya belum tiba untuk membincangkan perjuangan membebaskan
bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas perdana menteri itu berkata agenda yang dinyatakan Presiden
PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tidak dapat dijanjikan dan
hanya akan dipertimbang sekiranya parti itu menakluki kerajaan.
"Segala rancangan yang ingin dibuat oleh semua parti itu akan datang
kemudian. Pada masa ini kita tidak boleh janji kerana kita tidak ada kuasa.
"Kalau itu kehendak semua takkan kita nak kata tidak boleh pula. Kita
akan lihat kemudian mengenai perjuangan (bebaskan Anwar) itu," kata Dr
Mahathir di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau bercakap kepada pemberita di luar Mesyuarat Tahunan
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) peringkat kebangsaan kali
ke-55.
Dr Mahathir juga berkata beliau belum membuat keputusan untuk
menghadiri perhimpunan Bersih 5 dan tiada rancangan untuk berucap pada
perhimpunan yang dijangka diadakan pada 19 Nov.
Sementara itu mesyuarat dua hari Perkim itu yang berakhir hari ini memilih calon Ahli Majlis Kebangsaan.
Dr Mahathir menang tanpa bertanding mengekalkan jawatannya sebagai
Yang Dipertua Perkim bagi sesi 2016-2019 dan Datuk Dr Abu Bakar Shaari
kekal sebagai pengerusi tetap menewaskan calon dari cawangan Kuala
Langat, Husain Anjang Pulau.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjadi Naib
Yang Dipertua Perkim Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata 'Bebaskan
Anwar' tidak patut dijadikan agenda perjuangan dan jika ia dilaksanakan,
maka pembangkang juga perlu memperjuangkan pembebasan tahanan lain di
negara ini.
"Kalau nak bebaskan Anwar, kena bebaskan semua. Jika perjuangan nak
bebaskan individu tertentu sahaja bagaimana pula nasib ramai lagi
tahanan lain.
"Mungkin mereka (tahanan lain) kecil jadi mereka tidak dilihat," katanya.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan